BAGAIMANAKAH cara pengarang kita menyambut Hari Kemerdekaan? Dalam masa terdekat ini kita telah merayakan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Bulan Ogos untuk Hari Kemerdekaan dan bulan September untuk perayaan kelahiran negara Malaysia.
Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) sudah memiliki tradisinya menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan. Ini diikuti oleh setiap negeri di bawah kelolaannya dan persatuan negeri, menganjurkan majlis pertandingan yang sama.
Selainnya bagaimana? Adakah dianjurkan wacana atau perbincangan karya kemerdekaan? Adakah yang tergerak hati bagi menghasilkan karya yang ada hubungannya dengan kemerdekaan, atau yang bersuasana dengan politik tanah air?
Dalam konteks ini, terdapat catatan daripada teori sastera autobiografi menyatakan, bahawa para pengarang Eropah terutamanya Perancis, apabila datangnya hari kemerdekaan, mereka merakamkan karya-karya yang berhubungan dengan kemerdekaan itu.
Pengarang Perancis sangat dekat dengan perkembangan politik tanah air. Dan merasa tidak sempurna jika tidak terlibat dengan kemerdekaan atau politik negara. Justeru itu mereka mencipta karya-karya yang bertemakan politik dan membawa pemikiran cintakan tanah air.
Mereka akan berkumpul atau menghadirkan diri ke majlis-majlis temu sastera, yang disebut sebagai salons literaires, untuk meraikan hari kemenangan itu. Tidak kira sama ada seseorang itu pengarang besar, veteran, mapan dan bersifat pro atau kons terhadap kerajaan, atau pengarang kecil yang baru bertatih, mereka akan membicarakan karya masing-masing yang ada hubungannya dengan kemerdekaan.
Mereka juga akan memperingati sasterawan kenamaan, seperti Francois Rabelais, Rene Descartes, Voltaire, Victor Hugo, Andre Gide dan lain-lainnya dengan karya-karya mereka yang luar biasa yang mengangkat negara Perancis.
Politik
Rasanya, elok juga tradisi pengarang Eropah itu, kita lazimkan dalam tradisi sastera kita. Sebagai contoh, Gapena dan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan majlis pertemuan ala salons literaires itu.
Para pengarang mapan dan muda akan membicarakan karya kemerdekaan masing-masing. Di samping itu menganjurkan majlis wacana atau kolokium bagi mendiskusikan karya-karya yang bersifat patriotik. Penulis muda juga turut menghadirinya, kerana dapat mendengar dan belajar daripada pengarang mapan tentang karya yang bersifat nasionalistik.
Setiap diri pengarang tanah air, saya percaya banyak menghasilkan karya yang ada hubungannya dengan Hari Kemerdekaan. Marilah kita meneliti dan menurunkan penghasilan karya kemerdekaan yang telah kita hasilkan.
Dalam konteks ini, saya cuba menurunkan beberapa buah karya yang telah saya hasilkan sebagai contoh. Dalam genre cerpen, saya pernah menulis Perjuangan, Petualang Bangsa dan Sambutan Kemerdekaan, yang ketiga-tiganya menceritakan perjuangan penduduk kampung menentang para petualang. Dalam Perjuangan, orang-orang Melayu menentang komunis dan Inggeris.
Petualang Bangsa, menyingkirkan musuh dalam selimut, pembelot dan pengkhianat. Sambutan Kemerdekaan, negara sedang meraikannya, tetapi kampung-kampung diserang musuh. Mereka berjuang habis-habisan, esoknya mereka meraikan kejayaan membunuh musuh-musuh negara itu.
Drama pentas Tanah di Hujung Bendang, konflik keluarga yang menjadi rebutan komunis. Manakala Api Merah Menyala daripada tajuknya sahaja merah menyala itu adalah simbolik kepada komunis.
Drama televisyen, Pulangnya Pendekar - kembalinya seorang pahlawan bersama-sama sahabat untuk membebaskan negerinya. Dia capek dan bongkok, penjahat-penjahat ketawa dan menyeksa dia, tetapi ternyata dia bukannya capek hanya berlakon, akhirnya negeri itu dapat dibebaskan daripada penjajahan.
Mentari Bangsa, menceritakan tentang perjuangan Datuk Onn dan orang Melayu menentang Malayan Union. Beberapa tahun dahulu, apabila negara hendak menyambut Hari Kemerdekaan, drama TV ini akan diulang siarannya oleh RTM.
Tok Awang, Jejak Pahlawan dan Ronjang kesemua drama ini mengisahkan perjuangan untuk kemerdekaan. Jejak Pahlawan drama tiga siri ini membawa perjuangan Datuk Bahaman atas ketidakpuasan hati orang-orang besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas negeri mereka, terutamanya dalam aspek mengutip cukai.
Saya juga terlibat menulis drama bercorak absurd. Apa-Apa, menceritakan tentang dua sahabat yang baru balik daripada bertapa. Sekembalinya daripada pertapaan, didapati kampungnya telah dirampas dan diketuai oleh seseorang yang berfahaman sosialis-komunis.
Berlaku penentangan ideologi. Dua sahabat ini menghadapi konflik sesama sendiri untuk menghapuskan musuh. Namun mereka kembali bersatu dan berjaya menghadapi musuh itu.
Drama Bunuh menceritakan sebuah kehidupan yang aman telah diserang oleh penjahat, dan negeri itu ditakluk. Penduduk bangun berjuang menentang penjajahan, dan kalimat yang mereka pegang ialah bunuh atau dibunuh. Akhirnya mereka berjaya.
Azimat pula mencitrakan tokoh politik yang berusaha untuk mendapatkan kuasa melalui pilihan raya. Ada pelbagai cara untuk menang, menemui bomoh dan tukang sihir. Mereka diberikan azimat untuk dipakai dan diamalkan, tetapi ternyata ia adalah sebuah impian belaka. Kemenangan hanya untuk mereka yang berusaha dan cerdik.
Dengan mengadakan pertemuan semacam salons literaires itu, masing-masing dapat menurunkan karya kemerdekaan. Falsafahnya ialah menanamkan kesedaran dan kecintaan terhadap tanah air.
Kegiatan itu juga menjadikan pengarang peka dan sensitif terhadap sifat kenegaraan, serta menjadi inspirasi bagi menghasilkan karya-karya kemerdekaan dan yang berwarnakan subjek politik semasa. Dengan demikian Hari Kemerdekaan adalah hari kemenangan yang sangat signifikan dan besar maknanya bagi setiap pengarang.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca