PADA 18 September lalu, media massa memetik Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong sebagai berkata, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak sesuai diperkenalkan semula pada masa ini ketika ekonomi dunia mengalami pertumbuhan agak perlahan.
Sebenarnya bukan lagi perlahan, malah sudah ada beberapa negara maju dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mula mengalami pembekuan. Pertubuhan yang mewakili 38 negara maju itu meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia 2.7 peratus tahun ini dan 2.9 peratus tahun depan.
Steven berkata, kerajaan perlu meneliti pelaksanaan semula GST secara keseluruhan dan bukan sekadar mendengar cadangan pihak tertentu.
Tambahnya, mereka ada sebab tertentu untuk GST dilaksanakan semula. Contohnya peniaga, mereka kata bayaran GST boleh dituntut balik tetapi kita meneliti bukan satu atau dua golongan, kita lihat kepada keseluruhannya.
Jika kita masih ingat, salah satu janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) pada 2018 adalah menghapuskan GST. PH melaksanakan janji itu apabila menang pilihan raya tersebut.
Namun, saya sarankan kita berwaspada dan pantau tindak-tanduk kerajaan dalam hal itu kerana sudah ada pihak yang ‘menguji angin’ dengan mengatakan GST baik untuk negara serta rakyat. Serentak itu, Kerajaan Perpaduan sendiri telah melakukan pusingan U terhadap dasar dan tindakannya.
Saya bertanya seorang ahli ekonomi dan penyelidik, bolehkah kerajaan memperkenalkan semula GST tetapi dengan menggunakan nama lain? Beliau jawab boleh iaitu dengan memanggilnya Value Added Tax (VAT) atau cukai tokok nilai tetapi katanya, VAT sahaja tidak memadai. Ia mestilah saksama, kalau tidak hanya pengguna bawahan akan terbeban seperti di bawah GST.
Dalam GST, semua peringkat pengeluaran, pengedaran dan penggunaan dikenakan cukai. Semua peringkat diberikan rebat kecuali pengguna terakhir iaitu orang yang membeli untuk makan atau pakai, maksudnya rakyat biasa macam Mak Cik Kiah. Lagi pun, dengan kerajaan sendiri menguar-uarkan kutipan cukai sedang meningkat, tidak perlulah dibawa balik GST.
April lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ketegasan kerajaan mentadbir negara menerusi dasar-dasar diperkenalkan berjaya meningkatkan pendapatan negara.
Sebagai contoh, hasil diperoleh menerusi kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semakin bertambah dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini terutama cukai-cukai dikenakan ke atas golongan kaya.
Pada 17 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan II berkata, hampir RM105 bilion telah dipungut sehingga 31 Julai iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sekali gus, sebagai ‘top salesman’ (jurujual terbaik), Perdana Menteri tentu boleh menambah hasil kerajaan dan pendapatan rakyat dengan membawa masuk lebih banyak pelaburan asing serta menyemarakkan semula pelaburan tempatan.
Gelaran jurujual terbaik itu dinobatkan ke atas beliau oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di New York.
Tengku Zafrul sendiri yang bukan alang kepalang kejurujualannya (salesmanship) dipetik oleh wartawan Malaysia sebagai berkata, kehebatan Anwar telah memudahkan kerja beliau.
Pada 17 September lalu, Tengku Zafrul mengumumkan pelaburan yang diluluskan bertambah dengan banyak dalam separuh pertama tahun ini berjumlah RM132.6 bilion. Beliau yakin sasaran tahun ini boleh dicapai.
Natijahnya, dengan segala maklumat merangsangkan ini, tidak perlulah kerajaan membebankan pengguna miskin yang bilangannya semakin ramai sejak pandemik Covid-19 dengan membawa balik GST.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca