KEBEBASAN media mutlak memang tidak wujud. Apa yang diperjuangkan oleh aktivis dan pengamal media di negara ini adalah kebebasan bersyarat seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan serta dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu ia menjadi pembangkang.
Antara janji tersebut adalah untuk memansuhkan atau memberi nafas reformasi terhadap undang-undang yang dianggap ketat dalam mengawal selia media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, beberapa seksyen dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang dianggap menyekat.
Selain itu, menjadikan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagai badan penyiaran awam profesional dari segi pelaporan berita tanpa mengira kerajaan atau pembangkang dan beberapa yang lain.
Kebebasan media daripada kawalan undang-undang dan campur tangan politik yang terlalu mengongkong adalah penting bagi membolehkan media memainkan peranannya sebagai jagawan untuk mengimbangi tiga kuasa negara iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari.
Peranan media, pada mulanya akhbar sebagai jagawan dizahirkan oleh seorang ahli Parlimen United Kingdom bernama Edmund Burke pada 1821 bagi mengiktiraf peranan organisasi berita dalam politik dan demokrasi.
Dalam ucapan tersebut, beliau dilaporkan sebagai berkata: "There were Three Estates in Parliament but in the Reporters’ Gallery yonder, there sat a Fourth Estate more important they all.”
Malah, jika kenyataan Burke itu diteliti, beliau menegaskan bahawa peranan media sebagai Estet Keempat negara walaupun statusnya de facto, bukan de jure adalah lebih penting berbanding tiga estet yang lain.
Susulan itu, organisasi pemantau media antarabangsa seperti Reporters Without Borders tampil dengan definisi kebebasan media yang boleh diterima pelbagai pihak termasuk pengamal dan aktivis media di negara ini.
Ia menyatakan: "Press freedom is defined as the ability of journalists as individuals and collectives to select, produce and disseminate news in the public interest independent of political, economic, legal and social interference and in the absence of threats to their physical and mental safety. ”Dalam kerangka definisi itu sebagai jagawan kepada tiga kuasa negara yang lain, ada dua peranan boleh dimainkan oleh organisasi berita dan kelompok bergelar wartawan.
Pertama, memantau gelagat kalangan yang berkuasa bagi memastikan mereka bertanggungjawab terhadap tindakan diambil supaya dengan itu tidak berlaku salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai kecurangan lain yang melanggar undang-undang sewaktu mereka memegang jawatan melalui pelaporan masing-masing.
Kedua, menyediakan platform bagi menyalurkan suara dan perspektif yang pelbagai mengenai isu kepentingan awam. Dengan kata lain, peranan media bukanlah sekadar menjadi institusi perhubungan awam pemerintah dengan melaporkan apa yang dinyatakan menteri sahaja. Juga bukan sebagai jurucakap pembangkang.
Media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan suara-suara alternatif termasuk yang kritikal terhadap kerajaan itu sendiri. Tentulah dalam menjalankan tanggungjawab sebagai jagawan, media tidak boleh berada di bawah telunjuk orang politik.
Institusi negara yang diwujudkan bagi mengawal selia media tidak boleh ditunggang oleh kalangan berkuasa untuk menindas media hanya kerana menyiarkan laporan dan kandungan kritikal terhadap pemerintah.
Penguasa yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengawal selia media itu sendiri jangan sesekali mentafsirkan kuasa dalam genggaman mereka secara harfiah, lalu bertindak sesuka hati untuk menyekat atau menapis bahan-bahan editorial tidak disenangi.
Jika ada kandungan difikirkan tidak sesuai, gunakan hak untuk menjawab atau the right to reply dalam prinsip kewartawanan bagi membetulkan keadaan. Tindakan sewenang-wenang untuk mengarahkan pimpinan media mengeluarkan kandungan tidak menyenangkan tuan politik wajar dijauhi.
Dengan kata lain, hormatilah peranan media dan wartawan yang memainkan peranan sebagai jagawan. Belajar hidup dengan semangat kebebasan media baharu yang didambakan oleh tuan politik mereka.
Jika institusi-institusi negara yang mengawal selia media terus mengambil tindakan tidak selari dengan pendirian yang berkali-kali telah dinyatakan oleh bos politik mereka, perbuatan itu adalah satu pengkhianatan terhadap ke-bebasan media itu sendiri.
*Chamil Wariya ialah Pengarah VOA MEDIA NETWORK, penyedia kandungan faktual.
Klik di sini untuk terus membaca