KUALA LUMPUR - Pentadbiran pusaka orang Islam memerlukan reformasi dan pembaharuan agar sesuai dengan perkembangan teknologi serta digitalisasi semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, terdapat cabaran dan peluang dalam memperkukuhkan pentadbiran pusaka orang Islam melalui penggunaan teknologi yang sesuai dan inovatif.
Menurutnya, ia memandangkan pengurusan pusaka melibatkan banyak pihak seperti mahkamah, institusi pengurusan harta seperti bank, pejabat tanah dan pengamal perundangan.
"Saya memuji dan mengambil contoh sistem mahkamah sivil yang memudahkan permohonan kes dalam talian, termasuk pengurusan kes, pra perbicaraan yang memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan keadilan dengan lebih cepat serta mudah.
"Bagi Mahkamah Syariah, pelantikan peguam syarie melalui lafaz wakalah boleh dilakukan di dalam talian manakala permohonan kes baru masih lagi dilakukan di kaunter pemfailan.
"Kelebihannya adalah semakan permohonan yang difailkan boleh dilakukan secara masa nyata atau real-time kerana ia membolehkan sesuatu dokumen itu diteliti terlebih dahulu oleh pihak berkaitan kesesuaiannya sebelum diterima untuk difailkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im menjelaskan, pengamal perundangan sama ada peguam bela, peguam cara mahupun peguam syarie memainkan peranan penting dalam usaha menjadi pendakwah untuk pentadbiran harta pusaka Islam.
Jelasnya, mereka bertanggungjawab untuk memberikan nasihat undang-undang kepada waris dan pihak yang terlibat dalam pengurusan harta pusaka.
"Tugasnya termasuklah memastikan pendrafan dan pelaksanaan instrumen pusaka seperti hibah, wasiat, amanah, faraid dan proses-proses pembahagian harta pusaka dilakukan dengan adil,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca