SHAH ALAM - Biarpun unjuran jumlah undi diperolehi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berpotensi meningkat lebih 20 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) terbentuk, beberapa penganalisis politik masih skeptikal terhadap peluang beliau untuk mengekalkan kemenangan dengan jurang majoriti lebih besar.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali sebaliknya menjangkakan jumlah majoriti undi bakal diterima Amizar mungkin berkurangan lebih separuh berbanding majoriti undi diterima bekas penyandang kerusi DUN itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada PRU15 iaitu sebanyak 4,048 undi.
Ujarnya, kemungkinan itu adalah berasaskan beberapa faktor yang dijangka menyumbang kepada kemerosotan sokongan pengundi kepada calon BN itu termasuklah unjuran peratusan kadar keluar mengundi rendah di samping beberapa isu nasional menyentuh kepentingan masyarakat Melayu di DUN itu.
"Faktor pertama adalah unjuran jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK Pelangai dijangka tidak melebihi 65 peratus.
"Ini kerana pengundi pengundi luar menganggap PRK Pelangai kurang penting dan tidak memberikan impak besar sama ada perubahan kepada kerajaan negeri mahu pun isu-isu nasional yang berlaku ketika ini," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Selain itu, Che Hamdan menjelaskan faktor kedua calon BN berdepan kehilangan majoriti undi yang besar adalah disebabkan kerjasama dengan PH bukan jaminan proses pemindahan undi di antara penyokong PH kepada BN akan benar-benar berlaku 100 peratus.
Malah, beliau meramalkan jumlah undi majoriti diperoleh calon BN mungkin merosot sekiranya peratusan keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan pengundi Cina dari Kampung Baru Telemong.
"Ini kerana majoriti pengundi Cina untuk DUN Pelangai kebanyakan tertumpu di Kampung Baru Telemong," katanya.
Pada masa sama, Che Hamdan turut menjangkakan isu setempat bakal memainkan peranan menentukan kemenangan pada PRK DUN Pelangai.
Jelasnya, antara isu setempat bakal menjadi tumpuan dan modal kempen parti-parti politik bertanding adalah isu pemilikan tanah penduduk kampung dan hala tuju pembangunan DUN berkenaan.
"Ini kerana walaupun DUN Pelangai sudah sekian lama diwakili bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, namun tidak banyak pembangunan dan kemudahan infrastruktur dapat dinikmati penduduk setempat sehingga sekarang.
"Justeru, saya berpandangan strategik politik penaungan yang selama ini digunakan BN untuk mengekalkan penguasaan mereka di DUN Pelangai kini dilihat kurang berkesan. UMNO kini berada dalam tahap paling lemah, dan strategi politik penaungan dijangka menjadi beban kepada calon mereka," katanya.
Untuk rekod pada PRU15 tahun lalu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dari BN, menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat (Cikgu Kasim), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (PH) dan calon Parti Pejuang Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.
PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.
Bagaimanapun, Che Hamdan tidak menafikan calon BN dan PN memiliki kelebihan tersendiri kerana kedua-duanya mereka adalah anak tempatan dan dikenali penduduk DUN Pelangai.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali meramalkan BN akan mempertahankan kerusi DUN Pelangai kerana kawasan berkenaan adalah kubu kuat UMNO yang pernah diterajui Adnan selama beberapa penggal lalu.
Dari segi demografi pengundi, Mazlan menjelaskan DUN Pelangai mempunyai tiga kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan lebih 70 peratus terdiri pengundi Melayu, 20 peratus pengundi Cina, diikuti India (6 peratus) dan bakinya kaum lain.
"Jika dilihat rekod PRU lalu, BN memang berpeluang untuk mempertahankan kerusi DUN Pelangai hanya sekiranya penyokong PH terutama pengundi Cina turun memberikan undi kepada calon BN.
"Kehadiran bekas Menteri Besar Pahang (Adnan) semasa majlis pengumuman nama calon BN bukan hanya menambahkan keyakinan Amizar untuk menang, malah membuktikan bahawa beliau masih lagi bersama UMNO dan tidak berpaling tadah menyokong PN seperti dicanang-canang sesetengah pihak," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca