PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau bukanlah yes man yang sanggup menjadi pak turut demi jawatan dan kuasa sehingga menggadaikan prinsipnya. Lantang dalam menentang kes DNAA... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau bukanlah yes man yang sanggup menjadi pak turut demi jawatan dan kuasa sehingga menggadaikan prinsipnya.

Lantang dalam menentang kes DNAA (melepas tanpa membebaskan) melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Syed Saddiq menjelaskan, beliau berasa hipokrit jika terus berdiam diri apabila melihat sesuatu yang tidak kena dengan tindak tanduk kerajaan sekarang.

Ahli Parlimen Muar itu juga memperincikan peruntukan RM4 juta ahli Parlimen yang ‘hilang’, disifatkan sebagai menghukum rakyat kerana pilihan politik, selain turut berkongsi hala tuju Muda yang kini bertindak sebagai third force.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Syed Saddiq yang dikendalikan wartawan Sinar Ahad, FARAH SHAZWANI ALI yang berlangsung di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

SINAR AHAD: Setelah mengumumkan tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), YB menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen Muar walau ada desakan. Apa langkah YB seterusnya?

SYED SADDIQ: Langkah saya adalah untuk sentiasa perjuangkan isu-isu rakyat. Ia konsisten daripada dulu, kini dan akan datang. Sebab itu apabila ada mendesak supaya saya kosongkan kerusi khususnya daripada pihak PH, saya minta mereka lihat cermin kerana sebelum pilihan raya, kami berkempen dalam platform untuk melawan rasuah dan tidak gugurkan kes.

Pemimpin tertinggi PH berkempen pagi ke malam untuk penjarakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Saya tak pernah katakan perkara itu dalam ucapan saya, tapi sebut mesti ikut sistem perundangan, rule of law, jangan campur tangan tetapi selepas pilihan raya, siapa bertukar? Siapa melupakan prinsip perjuangan sebenar?

Saya rasa saya kekal dalam platform sama. Rakyat Malaysia bijak menilai dan saya yakin, selagi berada di landasan betul dan kekal berprinsip, Insya-ALLAH semuanya akan berjalan dengan baik.

SINAR HARIAN: Bercakap tentang isu DNAA (melepas tanpa membebaskan), bagaimana Muda dan pembangkang melihatnya sebagai benar-benar ada campur tangan atau hanya hearsay yang menuduh kerajaan?

SYED SADDIQ: Dalam Parlimen, saya kongsikan fakta dibentangkan kepada kita. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri kata ada desakan untuk gugurkan kes ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkongsi secara terbuka bahawa beliau didesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan kes mereka sebagai prasyarat sebelum dapat sokongan menjadi PM.

Kalau bersandarkan fakta itu sahaja, ia tidak mencukupi kerana kita tak boleh tuduh PM. Tetapi selepas pilihan raya, satu persatu kes ditangguhkan berkali-kali dan menggunakan alasan bahawa ini merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri, dan beliau kena hadiri mesyuarat penting yang berkait rapat dengannya.

Selepas itu, pendakwa raya berjaya mewujudkan kes prima facie, dan beban bukti mencukupi supaya seseorang itu perlu membuat pembelaan, tetapi tiba-tiba pendakwa raya ‘direhatkan’ dan kemudian bersara awal.

Selepas itu, satu persatu percubaan untuk menggugurkan kes dan ia ditamatkan apabila Peguam Negara dalam proses ambil cuti awal untuk bersara dan sebelum Peguam Negara baru masuk, akhirnya 47 pertuduhan kes digugurkan.

Sebab itu sebagai wakil rakyat kalau berdiam diri tidak bersuara, saya rasa hipokrit. Semasa tahun 2020 apabila Langkah Sheraton berlaku, saya lawan parti sendiri kerana bimbang akan adanya desakan selepas itu untuk gugur kes dan dealing politik di belakang.

Cuma saya tak sangka kerajaan yang dikatakan proreformasi, paling kuat ingin buat perubahan akhirnya mereka yang menggugurkan kes-kes rasuah.

SINAR HARIAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan komited dalam usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya. Pada pandangan YB, adakah ia mampu direalisasikan?

SYED SADDIQ: Saya harap mereka serius dan komited kerana sudah dengar banyak pengumuman tapi tidak dibuat. Sebab itu dalam Parlimen, saya cuba mencelah apabila menteri berucap kata ini adalah kerajaan walk the talk tapi saya kata NATO (no actions, talk only).

Mereka kata kerajaan atau PM terdahulu yang tidak buat tapi masalahnya, mereka dalam kerajaan yang sama sebelum ini.

Bukan sahaja dalam kerajaan sama tapi dalam kedudukan tertinggi yang ada kuasa gubal undang-undang.

Kerajaan sekarang pula kata sudah beri komitmen dan akan kaji. Dalam tempoh itu, berapa banyak kajian yang dibentangkan tentang isu ini? Saya kata tak apalah, buat kajian setahun dan pelaksanaannya tidak pasti lagi.

Namun disebabkan ia beri manfaat, dan kerajaan tidak perlu risau kerana saya akan beri sokongan dan menyumbang kepada dua pertiga sokongan.

Tetapi saya mohon, laksanakan. Kalau tidak, masalah dan ketidakadilan sama berterusan. Kerisauan utama saya adalah ia akan jadi penanda aras bagi kerajaan dan PM akan datang.

SINAR HARIAN: Parti Gerakan mengalu-alukan YB untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN). Apakah mungkin YB akan menyertai mereka?

SYED SADDIQ: Mewakili pimpinan Muda, kita ada bermesyuarat panjang dan bincang hala tuju parti. Kita telah buat keputusan dan buat masa ini, Muda fokus di meja pembangkang.

Apabila berada di blok pembangkang, isu-isu rakyat yang boleh diperjuangkan bersama, kita lakukan bersama. Sebagai contoh isu DNAA, keterjaminan makanan, pendidikan berkualiti dan kos sara hidup.

Ini semua isu kebersamaan yang boleh kita perjuangkan tapi keputusan Muda adalah untuk kekal sebagai third force atau blok ketiga.

SINAR HARIAN: Sebagai third force yang berseorangan, macam mana wave itu digunakan untuk membawa isu-isu rakyat sedangkan Muda dipandang enteng oleh kerajaan?

SYED SADDIQ: Saya faham, jalan ke hadapan ini bila bersendirian memang tidak mudah dan akan dipenuhi dengan rintangan dan cabaran. Isu-isu yang boleh diperjuangkan bersama akan kita lakukan di mana-mana blok politik tapi pada masa sama, saya rasa penting untuk Muda buktikan kekuatannya dahulu supaya kita boleh terus lebarkan sayap.

Bekerja dengan kuat dan terus dengan prinsip mendekati masyarakat. Pastikan organisasi kuat sebelum bincang perkara lain kerana kita perlu menunjukkan kebolehan dan kemampuan dahulu. Bila kuat, di situlah isu-isu yang dibawa akan didengari.

SINAR HARIAN: Penganalisis politik ada beri pandangan tindakan YB sebenarnya adalah satu strategi untuk dapatkan sokongan Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak endahkan beberapa permintaan Muda. Benarkah sedemikian?

SYED SADDIQ: Kalau saya masuk politik dan fikir soal jawatan, pangkat atau kontrak kuasa, lebih baik kekal sahaja dalam kerajaan 2020, lebih seronok. Jawatan menteri sudah ditawarkan. Bila tolak jawatan menteri, saya ditawar jawatan Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dengan gaji lebih tinggi daripada PM. Tetapi saya lawan dan diugut sampai diheret ke mahkamah.

Saya tidak lompat sedangkan ramai ahli Parlimen lain yang lompat. Kalau saya fikir soal rundingan kuasa semata-mata, lebih baik berada dalam kerajaan, lagi selesa. Kuasa rundingan dan yes man lagi kuat. Jadi pak turut, lagi seronok kerana peruntukan banyak, sampai RM4 juta.

SINAR HARIAN: Bagaimana YB melihat peruntukan pembangkang yang tidak diberikan sekarang, tapi tawaran dibuat melalui perbincangan.

SYED SADDIQ: Dalam bab ini, saya kembali semula janji kita kepada rakyat. Kita perlu faham tawaran dalam manifesto secara jelas bahawa peruntukan akan diberikan secara adil dan saksama serta tidak lagi diletakkan di bawah PM tapi diletakkan di bawah institusi Parlimen.

Itu adalah reformasi asas yang adil dan baik. Tapi selepas lapan bulan, mereka (kerajaan) kata perlu jumpa dulu. Bila jumpa, kata perlu setuju dengan terma dan syarat.

Ini saya rasa, sengaja nak ‘prolong’ tapi persoalannya, siapa yang susah? Rakyat di kawasan itu. PM kata beliau nak pastikan kemiskinan dapat dibasmikan.

Sedangkan kami juga sebagai wakil rakyat hendak bantu bina rumah, baik pulih dan selenggara. Kalau ada orang uzur, kena beli katil gred hospital, bantuan bulanan. Tetapi sekarang ini semuanya sudah dikosongkan.

Macam mana nak basmi kemiskinan? Akhirnya yang kena hukum adalah rakyat bukannya ahli Parlimen. Rakyat dihukum kerana apa? Pilihan atau warna politik?

Ini politik lapuk dan tua, macam mana negara nak maju. Saya sering bincangkan tentang masa depan. Kalau ini dijadikan precedent, habislah kerajaan-kerajaan akan datang akan guna pendekatan ini lagi. Kitarannya tidak dihentikan.

SINAR HARIAN: Kita faham pembangkang tidak dapat peruntukan tapi kerajaan mengatakan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi lain. Apa bezanya bantuan diberikan kepada ahli Parlimen?

SYED SADDIQ: Saya beri contoh paling mudah, setiap ahli Parlimen diberikan peruntukan dalam anggaran RM4 juta. Daripada jumlah itu, RM2 juta adalah perbelanjaan pembangunan seperti bina jambatan, baik pulih rumah, dewan baharu dan selenggara sekolah.

Selepas itu selebihnya antara RM1.5 juta ke RM2 juta iaitu OG (outright grant) yang mana kita nak berikan bantuan kepada badan bukan kerajaan, orang susah, wakil komuniti tempatan, ketua kampung dan masyarakat. Ada peruntukan dalam RM300,000 ke atas bagi tujuan pengurusan seperti sewa pejabat dan menggajikan kakitangan, tapi sekarang, semua ini sudah tiada.

Kerajaan kata tidak mengapa kerana JKM ada. Memang betul, tapi jujurlah, kenapa peruntukan ini diperlukan? Sebab saya selalu berurusan dengan pihak agensi kerajaan. Peruntukan mereka juga terhad. Kalau tidak penting, saya nak tunjuk cermin sekali lagi. Pastikan ahli Parlimen kerajaan juga tak dapat bantuan RM4 juta. Tengok, tidak tunggang terbalik ke negara kita?

SINAR HARIAN: PM kata sedia beri peruntukan kalau pembangkang mahu berunding. Adakah YB sedia?

SYED SADDIQ: Saya nak runding, jumpa dan bincang, tiada masalah. Tapi nak runding macam mana? Kita kena bawa kertas kerja? Boleh, tapi biarlah adil. Adakah prasyarat yang sama diletakkan ke atas ahli Parlimen kerajaan. Adakah ia bermaksud kita akan dapat RM100,000 tapi yang lain dapat RM4 juta?

Benda ini saya kena jelaskan sebaik mungkin supaya rakyat tahu apa sedang berlaku, supaya mereka sedar adanya ketidakadilan. Mereka dihukum kerana pilihan politik. Adakah ini definisi negara maju? Adakah ini negara yang kita nak wariskan kepada anak muda? Adakah ini reformasi sebenar yang ingin kita kemukakan?

SINAR HARIAN: Apakah impak daripada penarikan sokongan Muda terhadap kerajaan?

SYED SADDIQ: Saya harap ini akan bawa kesedaran bahawa setiap tindakan, ada tindak balasnya. Bukan semua orang boleh jadi pak turut. Bukan semua orang boleh bersetuju dengan apa-apa kesalahan yang berlaku.

Saya harap ini akan beri peringatan kepada mereka yang berada di tampuk kuasa, jangan pandang mudah terhadap orang lain.

Jangan perkecilkan suara rakyat dan janji-janji yang telah ditaburkan. Jangan lupa mengapa mandat itu diberikan.

SINAR HARIAN: Apa rancangan Muda selepas ini? Orang melihat Muda ini adalah Syed Saddiq dan bila YB tiada, ke mana hala tujunya?

SYED SADDIQ: Itu adalah fokus utama kami selepas ini. Sebab itu saya kata, kita kena bina kekuatan sendiri dahulu sebelum nak bincang blok politik, berunding dan kekal sebagai third force.

Kita kena perkukuhkan organisasi dan naikkan bakat-bakat baharu dalam pimpinan, latih dan pastikan bahawa mereka bersama dan perjuangkan isu rakyat.

Akhirnya, rakyat lihat ada satu pasukan yang kuat dan boleh ke hadapan dan membina Malaysia yang kalis masa hadapan. Proses itu memakan masa, parti lain makan masa puluhan tahun, berdekad untuk menang. Takkan Muda nak pilih jalan mudah dan pintas?

Saya pun bukanlah individu yang sempurna, banyak kesilapan yang dilakukan dan cuba perbaiki diri dari semasa ke semasa. Saya agak bernasib baik dalam bidang politik walaupun bukan berlatar belakang daripada keluarga politik.

Penyertaan saya agak bertuah kerana dibimbing oleh figura politik besar. Ramai pimpinan Muda daripada pelbagai latar belakang dan mereka tidak mengharapkan bantuan politik untuk berjaya.

Tapi, mereka benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada negara. Saya diberikan peluang ini untuk bantu mereka.

Ibu jadi inspirasi dan kekuatan

IBU menjadi sumber kekuatan dan inspirasi dalam saya berjuang di arena politik. Saya dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan dan ibu bekerja sebagai guru manakala ayah menjadi buruh di Singapura.

Ayah berulang-alik ke seberang tambak dan saya akui, beban ibu sangat berat.

Rutin dia bermula jam 4 pagi siapkan makanan untuk ayah kerana nak seberang ke Singapura ambil masa dua jam.

Kemudian, uruskan kami empat beradik dan bersiap ke sekolah. Balik dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang, ibu mula memasak dan ajar tuisyen bermula jam 4 petang selama dua jam.

Jam 6 petang, berhenti solat dan masak untuk keluarga dan sambung kelas tuisyen jam 8 ke 10 malam. Ayah saya balik kira-kira jam 11 ke 12 malam dan ibu masak lagi, rutin itu sama setiap hari.

Saya lihat ibu mendedikasikan hidupnya bukan sahaja kepada saya dan adik-beradik serta ayah tapi anak-anak muridnya yang lain.

Dedikasinya sedikit sebanyak membantu dan menjadi pengalaman paling bermakna kepada diri saya.

Bersenam tiga kali sehari, suka ‘bertapa’ dalam tandas

SAYA percaya, untuk berjaya kita kena berdisiplin dan diamalkan bertahun-tahun lamanya. Sebab itu, jadual harian saya tetap.

Saya akan bangun awal pagi dan selepas solat Subuh, pergi bersenam di gim berdekatan atau berjoging lima kilometer.

Saya juga banyak luangkan banyak masa di tandas. Orang akan tanya, kenapa di tandas? Sebab dalam tandas itu, saya ambil sedikit masa dengan membaca laporan berita Bahasa Inggeris dahulu.

Selepas itu, bila makan tengah hari, saya wajib baca akhbar-akhbar tempatan seperti Sinar Harian, The Star, Utusan Online dan The Edge.

Selain itu, saya pastikan bersenam tiga kali sehari iaitu pagi, selepas makan tengah hari dan balik kerja, bersenam sekali lagi selepas solat Asar.

Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid
Syed Saddiq ketika diwawancara wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor. Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid

Impian ke Oxford tidak pernah pudar

DUA kali lepaskan tawaran melanjutkan pelajaran ke Oxford, impian untuk ke sana masih ada kerana saya nak jadi pelajar seumur hidup.

Bila kata pelajar, bukan setakat ke universiti tapi banyak lagi perlu dipelajari. Dalam konteks politik, saya masih belajar selok-belok rintangan.

Itu proses pembelajaran seumur hidup, tapi persoalan khusus untuk ke Universiti Oxford, memang itu adalah salah satu impian saya.

Ini bukan kerana universiti itu semata-mata tapi ada sejarahnya. Dulu bila saya berkecimpung dalam dunia perbahasan dan mewakili negara sampai tawan peringkat Asia dan nak ke peringkat dunia.

Salah satu universiti terbaik dunia adalah Universiti Oxford. Saya dah tawan Asia, saya nak tawan Eropah pula dan selepas itu peringkat dunia.

PROFIL

Nama: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tarikh lahir: 6 Disember 1992 (31 tahun)

Asal: Pulai, Johor Bahru

Keluarga: Anak bongsu daripada 4 beradik

Pendidikan: Maktab Tentera Diraja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Ijazah Sarjana Muda Undang-undang)

Jawatan: Presiden Muda (2020-kini)

Ahli Parlimen Muar (2018-kini)

Menteri Belia dan Sukan (2018-2020)

Klik di sini untuk terus membaca