SHAH ALAM - Setiap individu bujang dan isi rumah di Malaysia dianggarkan menyimpan bekalan beras antara lima hingga 20 kilogram (kg) untuk kegunaan dalam tempoh sebulan.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, keperluan bagi keluarga yang mempunyai anak lebih daripada tiga orang dianggarkan sebanyak 20kg, isi rumah kurang tiga anak (10kg) dan individu bujang (1.25kg).
"Anggaran ini berdasarkan data sedia ada dan mendapati seorang dewasa memerlukan pengambilan beras sebanyak 77 kg setahun atau 6.41kg sebulan, namun jumlah berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor makan di luar.
Akhbar ini pada Sabtu melaporkan dakwaan bahawa stok beras tempatan disorok oleh pengilang dan pemborong disifatkan tidak logik kerana jangka hayatnya hanya mampu bertahan selama 45 hari sahaja sebelum diserang kutu beras, begitu juga dengan padi kerana ketahanan padi hanya 60 hari.
Menurut Azman, stok semasa beras negara masih banyak iaitu kira-kira 900,000 tan metrik dan mampu untuk menampung keperluan bagi tempoh lima bulan akan datang.
Dalam pada itu, Azman mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik terhadap beras kerana penyimpanan terlalu lama akan menyebabkan kualiti beras merosot dan terpaksa dibuang.
Beliau juga berharap para peniaga makanan untuk tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan nasi disebabkan masalah beras ketika ini.
"Disebabkan keadaan itu, saya melihat ramai peniaga restoran ‘menangguk di air keruh’ dengan menaikkan harga nasi daripada RM1.50 sepinggan kepada RM2 dan terkini RM2.60.
"Kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira pengguna, peniaga dan pengilang perlu bersama-sama menghadapi masalah ini tanpa bersikap prejudis antara satu sama lain,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca