SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinannya, menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana beliau kemaruk kuasa dan jawatan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinannya, menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan kerana beliau kemaruk kuasa dan jawatan.

Presiden Muda itu berkata, tindakan menarik sokongan itu tiada kaitan dengan strategik mendapat sokongan Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak mengendahkan beberapa permintaan Muda.

"Kalau saya masuk politik dan fikir soal jawatan, pangkat atau kontrak kuasa, lebih baik kekal sahaja dalam kerajaan 2020. Lebih seronok. Jawatan menteri sudah ditawarkan. Bila tolak jawatan menteri, saya ditawar jawatan Pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dengan gaji lebih tinggi daripada Perdana Menteri. Tetapi saya lawan dan diugut sampai diheret ke mahkamah.

"Saya tidak lompat sedangkan ramai ahli Parlimen lain yang lompat. Kalau saya fikir soal rundingan kuasa semata-mata, lebih baik berada dalam kerajaan, lagi selesa. Kuasa rundingan dan yes man lagi kuat. Jadi pak turut, lagi seronok kerana peruntukan banyak, sampai RM4 juta," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Sebaliknya Syed Saddiq menjelaskan, Muda menarik sokongan bagi membolehkan parti berkenaan menjadi 'third force' untuk terus memperjuangkan pelbagai isu dan masalah dihadapi oleh rakyat.

"Saya faham, jalan ke hadapan ini bila bersendirian memang tidak mudah dan akan dipenuhi dengan rintangan dan cabaran. Isu-isu yang boleh diperjuangkan bersama akan kita lakukan di mana-mana blok politik tetapi pada masa sama, saya rasa penting untuk Muda buktikan kekuatannya dahulu supaya kita boleh terus lebarkan sayap.

"Bekerja dengan kuat dan terus dengan prinsip mendekati masyarakat. Pastikan organisasi kuat sebelum bincang perkara lain kerana kita perlu menunjukkan kebolehan dan kemampuan dahulu. Bila kuat, di situlah isu-isu yang dibawa akan didengari," katanya.

Syed Saddiq berkata, partinya tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat biarpun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyambut baik jika Muda mahu berbuat demikian.

Berikutan itu Syed Saddiq menjelaskan, Muda akan kekal sebagai 'third force' dan akan bersama pembangkang dalam memperjuangkan pelbagai isu dan masalah membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

"Apabila berada di blok pembangkang, isu-isu rakyat yang boleh diperjuangkan bersama, kita lakukan bersama. Sebagai contoh isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keterjaminan makanan, pendidikan berkualiti dan kos sara hidup. Ini semua isu kebersamaan yang boleh kita perjuangkan tapi keputusan Muda adalah untuk kekal sebagai third force atau blok ketiga," katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan Muda akan memperkuatkan parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan untuk menyertai mana-mana blok politik pada masa depan.

"Kita kena perkukuhkan organisasi dan naikkan bakat-bakat baharu dalam pimpinan, latih dan pastikan bahawa mereka bersama dan perjuangkan isu rakyat.

"Akhirnya, rakyat lihat ada satu pasukan yang kuat dan boleh ke hadapan dan membina Malaysia yang kalis masa hadapan. Proses itu memakan masa, parti lain makan masa puluhan tahun, berdekad untuk menang. Takkan Muda nak pilih jalan mudah dan pintas?

"Saya pun bukanlah individu yang sempurna, banyak kesilapan yang dilakukan dan cuba perbaiki diri dari semasa ke semasa. Saya agak bernasib baik dalam bidang politik walaupun bukan berlatar belakang daripada keluarga politik.

"Penyertaan saya agak bertuah kerana dibimbing oleh figura politik besar. Ramai pimpinan Muda daripada pelbagai latar belakang dan mereka tidak mengharapkan bantuan politik untuk berjaya. Tapi, mereka benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada negara. Saya diberikan peluang ini untuk bantu mereka," katanya.

* Baca wawancara penuh di https://premium.sinarharian.com.my/article/228347/wawancara/wawancara-eksklusif/maaf-saya-bukan-yes-man

Klik di sini untuk terus membaca