SHAH ALAM - Tidak salah sama ada rakyat Malaysia lebih cenderung makan luar atau membeli bahan mentah dan memasak sendiri di rumah kerana ia mengikut kemampuan perbelanjaan masing-masing.
Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, berdasarkan data dimiliki beliau, jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan rakyat Malaysia untuk makan dan minum secara purata ialah sekitar RM800 hingga RM1,200.
Bagaimanapun katanya, bagi golongan berkeluarga, kos memasak di rumah jauh lebih menjimatkan iaitu dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding makan di luar kerana penggunaan bahan masakan dapat bertahan lebih lama.
"Tidak dapat dinafikan bagi individu yang berkerjaya mungkin tidak mempunyai kesempatan untuk memasak di rumah dan terpaksa membelanjakan wang untuk makan luar.
"Bagaimanapun, sekiranya pasar raya menyediakan servis mencuci dan menyiang barang basah seperti ikan dan ayam serta sayur yang sudah dipotong, saya percaya mereka lebih memilih untuk memasak di rumah.
Barjoyai berkata, sekiranya seseorang yang bujang hanya membelanjakan RM200 untuk makan di luar, ia menunjukkan individu tersebut juga ada memasak di rumah sekurangnya-kurangnya makanan mudah seperti mi segera atau telur goreng.
"Untuk lebih menjimatkan, saya mengesyorkan agar mereka mendapatkan Menu Rahmah yang ditawarkan di gerai-gerai atau restoran dengan makanan serendah RM5 termasuk dengan minuman.
"Jika mereka makan dua atau tiga kali sehari, kos perbelanjaan untuk makanan tidak lebih RM20 sehari. Ia sebenarnya menjimatkan untuk golo-ngan bujang serta mahasiswa.
"Menu Rahmah ini ada di pelbagai lokasi dan lebih 3,000 kedai yang menawarkannya termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Jadi, tiada isu sukar untuk mendapatkannya,” katanya.
Isu ramai rakyat Malaysia lebih gemar makan luar berbanding membeli bahan mentah dan memasak di rumah hangat diperkatakan selepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkannya berdasarkan data dikumpul dalam tempoh 20 tahun.
Rafizi menyatakan, tabiat ketagih makan luar menyebabkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat di negara ini dihabiskan untuk memenuhi perkara tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca