DESAKAN demi desakan terus diterima dari pelbagai arah yang mahukan negara maju seperti United Kingdom (UK) terus komited dengan sasaran Net Zero mereka.
Antara strategi Net Zero kerajaan UK yang kembali disebut-sebut sejak minggu lalu adalah penghentian jualan kenderaan baharu berenjin diesel, petrol atau hibrid.
Theresa May semasa menjadi Perdana Menteri UK, menyasarkan hanya kenderaan elektrik yang boleh dijual di UK mulai tahun 2040. Ia demi mengurangkan sumbangan gas rumah kaca daripada sektor pengangkutan.
Terkenal sebagai salah satu ‘leading state’, UK menjadi negara terawal mengumumkan dasar sebegitu, bersama rakan Eropahnya, Netherlands, Denmark, Sweden, Ireland dan Norway.
Tempoh ini disingkatkan ke tahun 2030 oleh Borris Johnson. Tapi minggu lalu, Rishi Sunak membuat pengumuman yang mengejutkan dunia. UK mahu menunda tarikh kuat kuasa dasar yang diumum Theresa May itu ke tahun 2035.
Keputusan Perdana Menteri muda ini tentulah tak disenangi semua pihak. Terutamanya pemain industri yang telah banyak melabur untuk membina infrastruktur kenderaan elektrik di seluruh UK.
Tapi, Rishi Sunak bukan Perdana Menteri UK yang biasa-biasa. Meski baru setahun menjadi Perdana Menteri, beliau terkenal dengan keberaniannya mengumumkan dasar yang membuat rakyat angkat kening.
Meski ada yang boleh dijangka, tapi banyak juga dasarnya juga berada di luar kotak. Contohnya, demi mencari dana tambahan bagi kerajaan menampung kenaikan gaji penjawat awam, UK akan menggandakan caj visa dan insurans kesihatan imigran yang datang belajar atau bekerja.
Kerajaan UK juga menjadi yang pertama menyekat pelajar peringkat antarabangsa peringkat sarjana daripada membawa keluarga ketika mengikut pengajian di negaranya.
Jadi, dasar ‘U-turn’ Rishi Sunak ini langsung tak menghairankan. Walau dikecam dunia, Rishi Sunak memilih untuk diam dan senyum saja.
Perdana Menteri yang terkaya dalam sejarah UK ini sepertinya sudah mula menyelami kesusahan hidup rakyat UK.
Kata beliau, dalam keadaan ekonomi semasa yang tak menentu, UK perlukan lebih masa untuk beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya. Kenderaan elektrik juga tak murah untuk dimiliki ramai.
Tak seperti London yang lengkap dengan jaringan pengangkutan awam, hidup tanpa kenderaan persendirian adalah agak mustahil di luar kota London. Apatah lagi, infrastruktur kenderaan elektrik di UK masih belum tersedia sepenuhnya menjelang 2030.
Hujahnya tampak berasas. Lagipun, harga untuk mencapai sasaran Net Zero ini sudah terlalu mahal. Kebanyakan masa, rakyat jugalah yang teruk terkesan.
Bukan setakat kos tenaga yang tinggi, malah harga makanan mentah seperti sayur dan buah juga mencanak naik apabila bekalan menyusut susulan cuaca tak menentu. Jadi, terus membebankan rakyat bukanlah pilihan yang ada.
Namun, jika diteliti kembali, menunda tarikh akhir penjualan kereta berenjin konvensional atau hibrid bukanlah apa yang rakyat mahu dengar pada masa ini. Ia langsung tak mengubah realiti krisis yang sedang menghimpit hampir semua rakyat UK kini.
Kos sara hidup terus melambung naik, harga rumah kian menggila hingga menyumbang kepada isu gelandangan dan masa menunggu rawatan daripada pihak hospital yang terlalu lama bagai sedang ‘membunuh’ lebih ramai pesakit.
Akhirnya, rakyat mula mempersoal ketulusan niat di balik setiap dasar yang diumumkan beliau.
Bancian oleh YouGov pada 22 dan 23 September misalnya mendapati 68 peratus penduduk UK tak berpuas hati dengan prestasi Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri UK. Ia adalah yang terendah dalam sejarah karier politiknya.
Sebenarnya, rakyat sudah tahu, ahli politik ini walau dipilih mereka sendiri, bukanlah terlalu berminat menolong rakyat. Baik yang menjadi kerajaan mahupun pembangkang. Mereka ini hanya membanting tulang demi mempertahankan karier politik masingmasing.
Ironinya, tak kiralah sejelas apapun sandiwaranya, ahli politik sering kali amat bertuah juga. Mereka sentiasa ada sokongan sebahagian lagi rakyat yang sudi menjadi jurucakap mempertahan pemimpin kesayangan.
Kata jurucakap ini, berilah Perdana Menteri kita masa untuk buat kerjanya, kerana menjadi pemimpin di era pasca pandemik ini hakikatnya tak mudah.
Suka atau tak suka, sebagai rakyat, telan dulu semuanya. Nak ubah, tunggu sajalah pilihan raya seterusnya.
* Wan Izar Haizan adalah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca