DALAM sejarah Islam, gejala kafir-mengkafir kepada saudara seagama telah muncul seawal era sahabat. Khawarij merupakan kumpulan pertama yang muncul mengkufurkan mereka yang tidak sealiran pandangan dengan mereka. Gejala seperti ini berterusan sehingga kini.
Ia lebih genting apabila wacana tentang kafir, munafik dan fasiq dinilai menurut lensa politik dan bukannya menurut perspektif akidah yang sahih.
Gejala ini lebih berleluasa dengan perkembangan media sosial di mana wacana tentang hukum akidah ini dibahas oleh orang awam yang majoritinya tidak berkeahlian dan cenderung pula kepada perspektif pegangan politik tertentu.
Walau apa pun bentuk perkembangannya, faktor utama kepada gejala kafir-mengkafir ini berlaku apabila salah faham terhadap maksud nas sama ada dalam al-Quran dan juga hadis.
Dalam ajaran Islam, selain nas sebagai sumber agama, kaedah dalam memahami nas juga adalah setara penting bagi mencapai tujuan makna yang dimaksudkan oleh ALLAH dan Nabi Muhammad SAW.
Bagaimana boleh ditentukan seseorang itu salah dalam memahami nas? Pertama, kefahaman itu adalah berdasarkan kesimpulan sendiri dan bukannya didasari dengan kaedah yang tepat seperti yang ditunjukkan oleh para ulama.
Kedua, istilah iman, kufur, syirik, nifak dan jahiliyah yang terdapat dalam nas ditafsirkan secara literal dan diumumkan pula untuk semua konteks serta keadaan. Sedangkan, setiap istilah yang digunakan dalam nas ada makna dan tujuannya tersendiri.
Sebagai contoh, penggunaan lafaz iman dalam al-Quran dan hadis digunakan untuk merujuk kepada iman yang sempurna dan bukan bermaksud iman semata-mata. Ini kerana jika sesuatu nas merujuk kepada iman semata-mata maka seseorang yang disebut tidak mempunyai iman telah kufur sedangkan nas tidak bermaksud sedemikian.
Dalam surah al-Anfal ayat 2, ALLAH berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama ALLAH gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” Maksud ‘orang yang beriman’ dalam ayat di atas ialah orang yang sempurna imannya. Ia tidak bermaksud jika seseorang itu tidak gementar hatinya atau tidak bertawakal maka dia telah kafir kerana tidak beriman.
Hal yang sama boleh dilihat dalam hadis-hadis sabda Nabi S.A.W. Ia boleh diteliti khususnya dalam hadis tentang cabang-cabang iman. Contohnya ialah hadis: "Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadis ini tidak menafikan keimanan pelaku. Apa yang dinafikan dengan sebutan ‘tidak beriman’ itu ialah menafikan kesempurnaan iman.
Lafaz kufur juga perlu diteliti berdasarkan konteks ayat. Ada kufur yang bermaksud pengkufuran secara langsung kepada ALLAH dan ia disebut kufur akbar. Kufur kategori ini ada dua bentuk.
Pertamanya, kufur asal seperti kufurnya golongan dahriy yang menolak kewujudan Allah atau mereka yang mengingkari kerasulan Rasul. Keduanya, ia merujuk kepada kufur mendatang iaitu kufur yang membawa kepada murtad.
Namun, istilah kufur juga digunakan untuk perbuatan maksiat. Ia dimaksudkan secara kiasan (majaz) dan bukan hakiki iaitu tidak menyebabkan seseorang pelaku itu kafir. Lafaz kufur ini digunakan antaranya untuk menunjukkan sesuatu perbuatan yang dilakukan serupa seperti mana amalan orang kafir atau dengan maksud kufur nikmat (tidak bersyukur dengan nikmat ALLAH).
Pelabelan seseorang sebagai kafir sebenarnya membawa implikasi pada aspek syariat. Oleh kerana itu dalam Islam, penentuan seseorang itu kafir atau tidak hanya boleh diputuskan oleh hakim. Penentuan itu pula mestilah berdasarkan bukti yang jelas dan bukannya berdasarkan andaian semata-mata.
Melabel seseorang tidak cukup Islam, atau lebih buruk disebut terkeluar daripada agama sebenarnya tidak menjadikan iman kita lebih baik. Kesempurnaan iman dicapai dengan mengukuhkan keyakinan sendiri, memperbanyakkan amalan dan mendalami ilmu agama.
* Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Klik di sini untuk terus membaca