PENEROKAAN hutan simpan secara haram memberi kesan kepada alam sekitar dan akan membawa bencana kepada manusia jika tidak ditangani dengan tegas. Ekosistem flora dan fauna pasti terjejas oleh perbuatan itu, selain air sungai turut tercemar... Klik di sini untuk terus membaca

PENEROKAAN hutan simpan secara haram memberi kesan kepada alam sekitar dan akan membawa bencana kepada manusia jika tidak ditangani dengan tegas.

Ekosistem flora dan fauna pasti terjejas oleh perbuatan itu, selain air sungai turut tercemar sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.

Di samping itu, negara akan mengalami kerugian akibat kehilangan biodiversiti. Ikut wawancara wartawan Sinar Harian, SAIFULLAH AHMAD dengan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan mengenai isu tersebut.

SINAR HARIAN: Sejauh mana Yang Berhormat (YB) melihat isu penerokaan haram kawasan hutan simpan yang berlaku di negara ini yang memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat?

KESAVAN: Saya sendiri memandang serius terhadap isu ini kerana kawasan saya di Sungai Siput ini diliputi hutan, malah ada kejadian haiwan liar seperti gajah masuk ke kawasan penduduk merosakkan tanaman dan sebagainya, begitu juga dengan kelibat harimau yang mendatangkan ketakutan kepada penduduk.

Perkara ini saya telah bangkitkan kepada pihak berkaitan kerana ancaman haiwan liar itu membahayakan penduduk khususnya Orang Asli. Sebab itu, penerokaan haram hutan simpan memang sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Walaupun dibenarkan mengambil hasil hutan, namun pemantauan secara ketat perlu dibuat bagi memastikan sebarang aktiviti mengambil hasil hutan dibuat mengikut peraturan ditetapkan. Selain itu, aktiviti penerokaan hutan secara haram juga boleh menjejaskan sumber air untuk kegunaan penduduk.

Selain kerajaan, bagaimana masyarakat boleh berperanan membantu menangani isu penerokaan haram kawasan hutan simpan di negara ini?

Penerokaan haram ini tidak boleh dipandang ringan. Memang ada kawasan yang kita dengar berlaku aktiviti pengusahasilan hutan dibuat tanpa mengikut peraturan.

Jadi kita mahu kerajaan negeri serius menangani isu ini kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar tetapi merugikan negeri.

Oleh itu kita sangat mengalu-alukan masyarakat memainkan peranan menjadi mata dan telinga jika berlaku penerokaan hutan berhampiran tempat tinggal mereka terutama di kawasan Orang Asli.

Mereka perlu menyalurkan maklumat sama ada kepada penguat kuasa mahu pun pejabat ahli Parlimen. Tetapi setakat ini saya rasa kesedaran masyarakat amat baik apabila ada sahaja aduan diterima berkaitan pencerobohan yang dibuat.

Kawasan Parlimen Sungai Siput terdiri daripada masyarakat berbilang kaum termasuk Orang Asli, bagaimana YB menyantuni golongan yang pelbagai ini agar tiada rakyat terpinggir?

Penduduk di sini terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan masyarakat Melayu sebanyak 51 peratus, Cina (23 peratus), India (20 peratus) dan Orang Asli (8 peratus). Selepas sepenggal di kawasan Parlimen Sungai Siput ini, saya sudah menyesuaikan diri dengan masyarakat di sini.

Penggal lalu sahaja, lebih 2,300 keluarga telah saya ziarah terutama golongan susah dan mereka yang tidak sihat.

Di sini terdapat 41 tok batin dalam kalangan masyarakat Orang Asli melibatkan 60 kampung dan jumlah ini merupakan yang kedua teramai selepas Parlimen Tapah.

Saya sudah menjelajah ke semua kampung Orang Asli termasuklah paling jauh kira-kira 80 kilometer dari pekan Sungai Siput yang mengambil masa dua jam untuk sampai ke situ.

Kita menyantuni mereka untuk melihat apa bantuan yang mereka mahukan kerana sumber ekonomi mereka bergantung kepada hasil hutan. Jadi di sini tidak ada yang dipinggirkan sama ada mereka tinggal di pekan atau di luar bandar.

Kesavan (kanan) menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Siput.
Kesavan (kanan) menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Siput.
Kesavan (kanan) menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Siput.
Kesavan (kanan) menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Siput.
Kesavan (kanan) menerima pelbagai aduan daripada penduduk di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Siput.

Dari segi keperluan dan pembangunan di kawasan Parlimen Sungai Siput, apakah yang diusahakan?

Saya sentiasa adakan pertemuan dengan penduduk dan salah satu isu yang mereka bangkitkan adalah peluang pekerjaan.

Sebanyak 60 peratus kawasan Parlimen ini adalah terlibat dengan pertanian disebabkan keadaan geografi dan bentuk muka bumi, maka sektor perindustrian tidak begitu banyak, hanya ada beberapa kilang tetapi tiada industri yang besar.

Perkara ini saya telah bangkitkan di Parlimen agar kerajaan melihat perkara ini dengan menyediakan ruang untuk menarik pelabur.

Kedua ialah isu perumahan kerana hanya 73 peratus penduduk miliki rumah sendiri selebihnya mendiami rumah sewa. Kebanyakan yang menyewa terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40. Jadi saya mahu beri penekanan terhadap pembinaan rumah kos rendah di sini.

Dari segi ekonomi masyarakat pula, kebanyakan mereka terlibat di dalam sektor pertanian.

Mereka yang meniaga pula ramai tidak ada kemahiran, jadi saya ambil inisiatif menawarkan kursus kemahiran secara percuma bagi menambah ilmu perniagaan untuk meningkatkan lagi taraf hidup. Kita telah mula beberapa kursus kemahiran kepada ibu tunggal dan anak muda supaya mereka belajar kursus bersesuaian.

Apakah isu utama yang membelenggu masyarakat di kawasan Parlimen Sungai Siput ini?

Saya bersyukur kerana dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam Parlimen ini iaitu ADUN Jalong, Loh Sze Yee dan ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak. Mereka banyak membantu dalam menyelesaikan isu-isu setempat. Antara masalah utama dihadapi penduduk ialah banjir kilat.

Isu banjir kilat ini melibatkan ramai penduduk dan bencana itu menyebabkan kerugian yang besar.

Saya telah bawa isu banjir kilat ini ke Parlimen dan kerajaan telah meluluskan RM30 juta bagi kerja-kerja mengatasi bencana tersebut dan ia telah bermula lebih setahun yang lalu.

Setakat ini projek-projek yang dijalankan sudah 60 peratus dilaksanakan dan saya harap usaha ini akan membantu mengatasi masalah banjir di Sungai Siput serta melegakan penduduk.

PROFIL

Nama: S Kesavan

Umur: 51

Asal: Hutan Melintang

Status: Berkahwin

Jawatan:

Ahli Parlimen Sungai Siput

Naib Pengerusi PKR Negeri Perak

Ketua PKR Cabang Sungai Siput

Klik di sini untuk terus membaca