SHAH ALAM - Kos perancangan harta pusaka atau wasiat tidak tinggi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sekiranya dirancang mengikut proses yang betul dan teratur.
Pengarah Urusan Penna Waris Sdn Bhd, Dr Anne Ismail berkata, ia sepatutnya tidak membebankan pemilik jika mereka mengambil langkah perancangan berkaitan harta pusaka lebih awal sebelum berlakunya kematian.
"Ia akan menjadi mahal dan rumit dalam situasi di mana waris perlu melantik pentadbir atau Wasi untuk menguruskan perkara itu setelah berlaku kematian pemilik harta.
"Urusan melantik pentadbir juga bukan mudah kerana memerlukan persetujuan semua waris sah untuk menentukan siapa yang lebih layak dan boleh dipercayai.
"Ini antara punca utama kebanyakan waris bergaduh,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Jelas Anne, secara purata pelantikan Wasi menelan kos kira-kira RM300, manakala kos penulisan wasiat dan dokumen pewarisan lengkap pula kurang daripada RM3,000 tertakluk kepada bilangan harta dan penerima.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk membuat hibah harta iaitu menyediakan dokumen pewarisan lengkap sekiranya sudah mengenal pasti harta mahu dihadiahkan kepada waris atau penerima sebelum meninggal dunia.
"Jika tidak, ia menyusahkan waris kerana tidak mengetahui jumlah sebenar harta yang ditinggalkan termasuk harta di luar negara dan pembelian saham,” ujarnya.
Katanya, situasi sama turut berlaku kepada anak angkat kerana mereka boleh termasuk dalam wasiat tetapi dengan syarat tidak melebihi satu per tiga daripada harta keseluruhan berdasarkan hukum faraid.
Justeru, penyenaraian harta dan urusan dokumentasi perlu dilakukan secara jelas agar dapat memudahkan waris menuntut di tempat yang betul dan boleh diselesaikan dengan mudah dalam tempoh yang singkat.
"Kita selalu diajar untuk mencari ilmu mengumpul harta tetapi tidak didedahkan mengenai ilmu perancangan dan pengurusan harta pusaka.
"Saya harap dengan perkongsian ini, lebih ramai sedar kepentingan perancangan harta pusaka bagi memudahkan waris untuk meneruskan kehidupan,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca