SHAH ALAM - Pertikaian di antara waris keluarga antara kekangan utama yang menyebabkan proses pengurusan wasiat harta si mati menjadi rumit dan sukar untuk diselesaikan.
Peguam, Noorazmir Zakaria berkata, terdapat kes di mana berlaku pertikaian yang melibatkan isteri si mati dengan ibu mertuanya berhubung tuntutan harta sepencarian.
"Kadangkala ia melibatkan isteri si mati yang menuntut harta sepencarian. Jadi itu yang pertikaian dan dia (isteri si mati) tuntut supaya harta sepencarian diselesaikan terlebih dahulu, bakinya baru dibahagikan mengikut faraid.
"Kalau berkaitan dengan hibah pula, contohnya apabila ada waris yang mendakwa dia ada menerima hibah si mati. Kadangkala hibah itu dipertikaikan oleh pihak waris lain, kata hibah itu tidak sah.
Dalam pada itu, Noorazmir berkata, apabila isu hibah juga menjadi pertikaian antara waris, maka proses pembahagian harta pusaka itu juga menjadi lambat kerana mahkamah syariah perlu membuat keputusan berhubung hibah tersebut.
Beliau berkata, terdapat kes yang mana pengurusan untuk melantik pentadbir dalam pembahagian harta juga boleh menjadi punca pergaduhan antara waris.
"Pada hal pentadbir kepada harta pusaka hanya menjadi wakil menguruskan harta semata-mata, bukannya mendapat semua harta itu,” ulasnya.
Sementara itu, Peguam Hartanah dan Pengurusan Harta Pusaka, Mariam Ramli berkata, beliau pernah berdepan dengan permasalahan waris syubhah atau anak tidak sah taraf yang mana menyebabkan urusan pembahagian harta dari segi faraid itu menjadi lebih rumit.
"Sijil faraid ini ia lebih kepada penekanan waris, maksudnya hubungan keluarga bukannya pembahagian. Jadi kena sahkan sama ada dia waris yang sah ataupun tidak,” ujarnya.
Mariam berkata, masih ramai yang kurang kesedaran atau cakna soal pembahagian harta melalui kaedah seperti hibah dan faraid.
Jelasnya, hal itu secara langsung menyebabkan kelewatan dari segi urusan pembahagian harta dalam kalangan waris keluarga.
"Kes-kes melibatkan wasiat atau pembahagian harta pusaka ini menjadi lama apabila ia melibatkan waris, ada yang setuju dan tidak setuju.
"Paling cepat pun dalam lima atau enam bulan. Tetapi ada kes yang kita buat sampai makan dua tiga tahun pun ada,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca