SHAH ALAM - Perancangan awal hibah dan wasiat penting bagi mengelak permasalahan berkaitan pembahagian harta pusaka termasuk wang tidak dituntut di Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) apabila seseorang itu meninggal dunia.
Penceramah, Ustaz Shofwan Badrie berkata, hibah terbahagi kepada dua iaitu bersyarat (umra dan ruqba) serta mutlak.
Menurutnya, hibah bersyarat mempunyai syarat tertentu yang ditetapkan dan ia amat berbeza dengan hibah mutlak yang diberi terus kepada penerima.
"Sebaiknya buat hibah dan wasiat awal-awal bagi mengelak masalah yang mungkin berlaku apabila melibatkan harta.
"Selain itu, pemilik harta perlu memberitahu kepada waris atau anak-anak mereka mengenai harta yang diamanahkan kepada AmanahRaya.
"Kes wang tidak dituntut mungkin disebabkan oleh ahli keluarga tidak mengetahui mengenai perkara tersebut,” katanya.
Pada Ahad, AmanahRaya mendedahkan dana tertangguh atau Wang Menunggu Dituntut (WMD) yang tersimpan sehingga kini mencecah RM500 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dilaporkan berkata, wang tunai itu adalah milik waris yang gagal diserahkan atas sebab-sebab tertentu dan usaha menjejak mereka sedang giat dijalankan.
Katanya, proses mengesan waris bahagian pusaka itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pemimpin masyarakat untuk diagihkan kepada mereka yang berhak.
Jelas Shofwan, AmanahRaya perlu memastikan setiap butiran waris harus lengkap sebelum proses seterusnya dilakukan.
"Maklumat yang tidak jelas akan menyukarkan mereka untuk mengenal pasti waris yang terlibat sekiranya pemilik harta meninggal dunia,” jelasnya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, sistem pembahagian harta pusaka perlu disemak semula bagi memastikan pengurusannya lebih mudah dan tersusun.
"Saya rasa ramai pihak yang beranggapan untuk mendapatkan harta pusaka itu leceh dan menyusahkan. Diharapkan ada pihak tertentu yang boleh membantu memudahkan proses tersebut bagi mengurangkan masalah wang tidak dituntut.
"Jika tidak dibuat daripada awal, semakin lama ia akan menjadi semakin rumit,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca