BARU-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kalinya berada di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat untuk memberikan ucapan.
Antara perkara utama dibangkitkan adalah dua isu sensitif di peringkat hubungan strategik global iaitu Islamofobia serta pencerobohan Israel di Palestin.
Walau dianggap merangkumi dua perkara berbeza, ia sebenarnya merangkumi isu yang sama. Ia berkaitan bagaimana pandangan global, khususnya Dunia Barat, masih terus dihantui ketakutan terhadap bayang-bayang silam Perang Salib dan kebangkitan tamadun Islam.
Tidak ada bukti paling menonjol boleh dijadikan contoh ketakutan ini dari pada apa yang telah sekian lama berlaku di Palestin.
Malah kata-kata Perdana Menteri dengan tepat menterjemahkan langkah dan sikap, khususnya yang diambil oleh negara-negara Barat.
"Terdapat kemunafikan yang nyata dalam mendepani isu Palestin. Masyarakat antarabangsa mesti bersuara menentang kekejaman pihak-pihak yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, biar pun pihak berkenaan bersuara dengan tegas menentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan rejim yang menindas,” kata Anwar dalam ucapannya di UNGA Ke-78 pada Jumaat.
Analisis ini tepat mencerminkan apa yang sekian lama telah berlaku dan hari ini ia menjadi bertambah ekstrem.
Beberapa contoh konflik bersenjata terkini yang berlaku di beberapa negara telah menonjolkan sifat kemunafikan itu.
Penduduk Palestin telah sekian lama dihalau dari tanah tumpah darah mereka oleh rejim Zionis yang secara terang-terangan melanggar keputusan PBB dengan memperluaskan penempatan haramnya.
Dalam percubaan mendapatkan semula hak terhadap tanah serta kemerdekaan mereka dengan mengangkat senjata, pihak Barat dengan mudah melabelkan mereka sebagai ‘pengganas’.
Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Ukraine, apabila pihak Rusia menggunakan taktik hampir sama dengan merampas tanah negara tersebut pada tahun 2022. Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky selain mengerahkan tentera negaranya, turut menubuhkan pasukan sukarela antarabangsa yang diberi nama ‘International Legion’.
Sukarelawan bersenjata dari hampir 55 negara termasuk Kanada, Finland, Amerika Syarikat, Britain, Georgia, Poland, Sweden, Norway, Spain, Israel dan pelbagai lagi telah menyahut seruan mempertahankan hak Ukraine.
Tiada satu negara Barat pun memanggil mereka sebagai pengganas sepertimana pejuang Palestin.
Bukan setakat mereka yang mengangkat senjata untuk kemerdekaan dilabelkan sebagai pengganas, malah rejim Zionis dan sekutunya amat gusar dengan golongan bijak pandai yang mampu menyumbang kepada keupayaan perang musuh mereka pada masa hadapan.
Mereka yang dimaksudkan contohnya adalah jurutera, pakar aeronautik dan siber yang dianggap mampu memberi impak kepada keupayaan Hamas dalam perang moden.
Pada Ogos tahun 2021, dalam penerbitan The Jerusalem Center for Public Affairs, sebuah institut penyelidikan bebas yang dianggap mewakili pemikiran strategi dasar luar dan keselamatan rejim Zionis, menyatakan bagaimana salah satu strategi rejim adalah untuk ‘menghapuskan’ bijak pandai dikaitkan atau bersimpati dengan kumpulan Palestin, Hamas.
Penerbitan itu dengan jelas menyatakan bahawa antara operasi yang telah berjaya dilancar dan menghapuskan bijak pandai Hamas telah pun dilaksana di Iran, Malaysia dan Amerika Syarikat.
Kita seharusnya sedar dan berwaspada agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’.
Rejim Zionis tidak pernah menghormati apa jua undang-undang atau siapa sahaja yang dilabelkan sebagai musuh atau yang dianggap cuba menghalang kemahuan mereka.
Apa lagi dengan pihak Barat yang semakin tebal kemunafikannya dalam hal ini.
*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca