SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2023-2026, bersekali dengan penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Lembah Klang pada Disember ini. Pengarah Komunikasi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2023-2026, bersekali dengan penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Lembah Klang pada Disember ini.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, sistem pemilihan bagi setiap jawatan utama parti termasuk presiden, timbalan presiden dan tiga kerusi naib presiden sememangnya bersifat terbuka untuk direbut 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Nasional yang bakal terpilih menerusi undi perwakilan parti peringkat kawasan.

Sehubungan itu, katanya, tidak mustahil perwakilan sepakat memberi wajah baharu kepada institusi Presiden.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kaedah pemilihan jawatankuasa kepimpinan Amanah adalah unik kerana perlembagaan parti menetapkan proses penentuan jawatan-jawatan utama akan dipilih oleh 27 AJK Nasional bagi peringkat nasional dan 17 AJK Kawasan bagi peringkat kawasan.

"Justeru, sekiranya mana-mana pemimpin ingin merebut sebarang jawatan utama dalam parti, mereka perlulah terpilih sebagai salah seorang daripada 27 AJK Nasional terlebih dahulu, termasuklah penyandang Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri.

"Pilihan perwakilan bukan atas dasar siapa layak memegang jawatan nombor satu, dua dan seterusnya, sebaliknya mereka memilih untuk membentuk satu pasukan kerja.

"Jika ada pun calon mendapat undi tertinggi daripada perwakilan, tidak semestinya individu itu akan dilantik sebagai presiden. Segalanya bergantung kepada kehendak perwakilan.

"Kaedah pemilihan kepimpinan sama juga diaplikasi untuk memilih ketua Amanah negeri-negeri dan sayap parti memandangkan kita mahu bentuk satu saf kepimpinan bersepakat dan tidak mewujudkan kem-kem tertentu yang berisiko memecahbelahkan parti,” jelas beliau kepada Sinar Premium pada Isnin.

Khalid berkata demikian bagi menjawab tanda tanya sama ada Amanah akan mengadakan pemilihan parti itu tahun ini susulan ia ditangguhkan selama 18 bulan menerusi kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun lalu.

Penangguhan itu bagi memberi laluan parti membuat persediaan menumpukan usaha bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan bersetuju dengan pandangan Khalid bahawa pemilihan parti itu sama ada di peringkat cawangan, kawasan dan nasional adalah bersifat kekeluargaan dan penuh ukhuwah.

Beliau berkata, kesemua 27 AJK Nasional yang bakal dipilih daripada perwakilan kawasan bertujuan mewujudkan satu pasukan yang boleh bekerjasama dengan baik bagi mentadbir parti.

"Oleh kerana itu, tiada isu cabar-mencabar yang akhirnya menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan ahli-ahli parti, sebaliknya pasukan kepimpinan baharu yang bakal terbentuk boleh terus fokus kepada usaha memperkasakan bagi mendepani pilihan raya akan datang,” ujar beliau.

Amanah kini diketuai Mohamad Sabu sebagai presiden, sementara jawatan timbalan presiden pula kosong berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Julai lalu.

Tiga jawatan naib presiden diisi Adly Zahari, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr Mujahid Mohd Yusof.

Klik di sini untuk terus membaca