THAKSIN Shinawatra, bekas Perdana Menteri Thailand yang melarikan diri daripada hukuman penjara dan hidup dalam buangan selama 15 tahun akhirnya pulang ke negaranya.
Sebaik sahaja pulang, beliau diberikan pengampunan diraja, dan hanya perlu dipenjara selama setahun. Kini, ada pula usaha untuk memberikannya parol. Akhirnya, walaupun dulunya mungkin dianggap sebagai penjenayah, beliau akhirnya menjadi manusia bebas.
Tatkala penyokongnya meraikan kepulangan dan pengampunannya, musuh politiknya melihat ia sebagai satu ketidakadilan. Tatkala orang biasa perlu meringkuk di penjara, manusia ternama dan kaya seperti Thaksin boleh pula hidup bebas.
Jacob Zuma, bekas Presiden Afrika Selatan juga antara manusia yang kaya di negaranya. Pada Julai 2021, beliau dijatuhkan hukuman 15 bulan penjara kerana kegagalan untuk menghadiri sidang mahkamah atas satu tuduhan rasuah. Tetapi, hanya dua bulan selepas itu, beliau dibebaskan oleh pihak kerajaan atas alasan kesihatan.
Namun mahkamah rayuan kemudiannya mendapati pembebasan itu sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Bulan lalu beliau dimasukkan semula ke penjara. Lebih mengejutkan, hanya selepas dua jam, beliau dibebaskan atas polisi mengurangkan kesesakan di penjara.
Sepertinya keadilan ialah hal yang boleh dimanipulasi oleh mereka yang memiliki kuasa untuk menentukannya. Ia tidak hanya berlaku di Thailand atau Afrika Selatan, bahkan mungkin di seluruh dunia.
Begitulah hidup. Keadilan adalah hal yang paling mahal untuk ditemui dalam dunia ini. Manusia di mana-mana dunia sekalipun, akan kecewa apabila melihat sebaliknya berlaku.
Dalam bidang kami, ahli psikologi cuba menerangkan hal keadilan seperti ini dengan konsep ‘just world hypothesis’. Ia keadaan bila mana manusia selalu berharap setiap sesuatu yang dilakukan akan mendapat imbalan yang setara dengan perbuatan tadi.
Orang akan merasa gelisah apabila seseorang yang mencuri beberapa tin sardin dihukum sama teruknya dengan mereka yang mencuri jutaan ringgit. Atau orang yang berusaha teruk dalam pelajaran, gagal dalam peperiksaan, tetapi yang malas pula boleh lulus cemerlang.
Tapi bukanlah bermakna konsep dunia yang adil ini baik semuanya juga. Kajian menunjukkan orang yang percaya bahawa dunia ini adil adakalanya tak bersimpati dengan orang lain.
Kuasa besar banyak memanfaatkan kepercayaan dunia yang adil ini untuk mewajarkan tindakan kejam mereka ke atas negara lain. Puluhan tahun dahulu, Saddam Hussein dilabel sebagai pemimpin yang kejam, autokratik dan jahat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.
Begitu jugalah yang berlaku dengan Muammar Gaddafi di Libya. Akhirnya negara seperti Iraq dan Libya dimusnahkan, dan sepertinya banyak orang percaya bahawa itulah akibat yang terjadi kerana adanya pemimpin yang jahat seperti itu.
Dalam kes Thaksin atau Zuma, terdapat juga cubaan untuk mewajarkan keadilan ini. Walaupun selama beberapa tahun kebelakangan ini Thaksin dianggap sebagai penjenayah oleh negaranya, kini setelah sekutunya menguasai kerajaan, jasa-jasa Thaksin mula disebut-sebut semula.
Dalam kes Zuma, kesesakan di penjara yang boleh memudaratkan tahanan digunakan sebagai alasan untuk membebaskannya.
Di negara kita, sesekali atau mungkin kerap juga, ahli politik kita bermain dengan konsep dunia yang adil ini. Musuh politik akan diberikan label yang jelik, dan kemudiannya diserang bertalu-talu walaupun dosanya tidaklah sebesar mana. Ada pula yang dipuji berjela-jela walaupun jasanya tidaklah sebesar mana. Semuanya untuk mewajarkan keadilan tadi.
Akhirnya kita semua pun tersenyum bila melihat ada yang tersungkur jatuh, atau ada yang diangkat naik. Kita juga mungkin ghairah melihat ada orang yang kita tak suka dihukum, dan mereka yang kita sayang diangkat menjadi hero. Akhirnya keadilan itu hanyalah tafsiran manusia sahaja.
*Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca