SHAH ALAM - Malaysia perlu bersedia menghadapi penyebaran penyakit X yang didakwa menjadi ancaman kepada manusia dan dijangka meragut lebih banyak nyawa sekiranya tiada langkah pencegahan dilakukan oleh kerajaan.
Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, walaupun tiada kes dilaporkan setakat ini, namun ia tidak mustahil akan menjadi pandemik yang terburuk dalam sejarah manusia.
Menurutnya, laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu diambil serius bagi membendung penularan penyakit itu sebelum ia merebak.
"Kita perlu bersedia walaupun belum pasti lagi sama ada simptom pada virus ini sama seperti Ebola atau Covid-19.
"Laporan yang dikeluarkan oleh WHO perlu dipandang serius supaya gejala ini dapat dibendung awal sebelum ia menjadi pandemik yang mampu membunuh lebih banyak nyawa manusia,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, menurut Dr Zamberi, kerajaan dicadangkan agar sentiasa berhubung dengan pihak kesihatan antarabangsa bagi mengetahui kes atau penularan penyakit yang berpotensi menjadi pandemik dalam negara.
Ujarnya, langkah seperti pemakaian pelitup muka dan kerap kali mencuci tangan adalah usaha bagi memastikan penyebaran virus tersebut dapat dibendung.
"Langkah mencegah ini juga bergantung kepada transmisi penyakit sama ada penularannya melalui pernafasan atau daripada saluran bendalir.
"Tindakan membendung penyakit X perlu lebih banyak kawalan berbanding Covid-19 dan kerajaan perlu lebih peka dalam memastikan sebarang jangkitan yang berpotensi merebak dengan pantas perlu dilakukan langkah pencegahan awal,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca