KES bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020.
Manakala dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, sebanyak 467 kes bunuh diri telah dilaporkan.
Kes bunuh diri diuruskan oleh dua pakar iaitu doktor psikiatri dan ahli psikologi klinikal kerana kebiasaannya melibatkan penyakit mental.
Pakar seperti kaunselor, ahli psikologi kaunseling dan pekerja sosial pula memberikan sokongan tambahan atau menjadi barisan hadapan ketika cetusan awal penyakit mental yang boleh membawa kepada tindakan bunuh diri. Mereka boleh membantu mengembalikan semula makna kehidupan.
Kebanyakan intervensi mereka adalah di peringkat mikro dan bersemuka. Ahli psikologi organisasi seperti saya lebih fokus kepada intervensi yang memberi makna kehidupan di peringkat makro atau organisasi.
Berikut adalah panduan atau cadangan ahli psikologi organisasi kepada pihak majikan dalam melaksanakan intervensi di peringkat primer (pencegahan), peringkat sekunder (pengurusan) dan peringkat tertier (pemulihan) dalam isu penyakit mental di tempat kerja umumnya dan isu bunuh diri di tempat kerja khususnya.
Untuk cadangan intervensi primer (pencegahan) di tempat kerja, majikan perlu mengamalkan praktis rekrutmen, pemilihan pekerja baharu, orientasi pekerja baharu serta transisi pekerjaan yang berasaskan bukti dan mesra kesihatan mental.
Selain itu, mereka perlu mewujudkan sensasi bertujuan dan budaya kebersamaan di tempat kerja, serta menyebarkan kefahaman tepat tentang pencegahan bunuh diri di tempat kerja.
Pihak majikan sewajarnya memberi pengiktirafan dan/atau ganjaran kepada pekerja-pekerja yang menunjukkan kebingkasan, pemulihan (walaupun tidak semestinya sembuh) dan kerahmatan (kebaikan, empati dan belas kasihan).
Mereka juga boleh menganjurkan program kesejahteraan dan sambutan Hari Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (meliputi kesihatan fizikal, mental, emosi dan spiritual) dengan nasihat pakar yang betul.
Sementara itu, bagi intervensi sekunder (pengurusan) di tempat kerja, pihak majikan perlu membina jaring keselamatan psikologi di tempat kerja.
Latihan tahunan boleh dilaksanakan untuk pekerja mengasah skil pertolongan cemas psikologi dan pertolongan cemas kesihatan mental.
Di samping membina rangkaian sokongan dalam kalangan rakan sekerja, majikan perlu mewujudkan komunikasi yang berteraskan budaya kesihatan dan keselamatan, mesra kesihatan mental, tanpa stigma dan prejudis serta membuat saringan kesihatan mental berkala oleh majikan (bukan bertujuan untuk memecat, tapi) untuk mengenal pasti pekerja yang memerlukan rawatan profesional, walaupun mereka merupakan pekerja yang berprestasi tinggi.
Pihak majikan juga wajar menyemak halangan-halangan perundangan, ganti rugi kepada pekerja, hak-hak orang kurang upaya (OKU) dan kriteria prestasi supaya lebih mesra kesihatan mental.
Bagi intervensi tertier (pemulihan) pula, majikan wajar menilai semula dan mempromosi manfaat perubatan dan insurans atau takaful berkaitan kesihatan mental dan program kembali bekerja (RTW) yang meliputi cuti sakit berkaitan penyakit mental.
Selain itu, majikan boleh menilai semula dan mempromosi khidmat kesihatan mental profesional di tempat kerja atau pihak ketiga seperti program bantuan pekerja dan membina protokol kemas jika berlaku kes bunuh diri di tempat kerja. Doa untuk mencegah dan mengurus emosi yang boleh menjejaskan kesihatan mental di tempat kerja; "Ya ALLAH, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada keluh-kesah dan kesedihan, daripada rasa lemah dan kemalasan, daripada sifat penakut dan kebakhilan, daripada bebanan hutang dan daripada dikuasai seseorang.” (HR Bukhari, 6369)Doa untuk membantu proses kaunseling, terapi dan ubat-ubatan oleh pekerja yang mengalami penyakit mental (termasuk pemikiran bunuh diri); "Ya ALLAH, tidaklah ada kemudahan, kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran ini menjadi mudah, jika Engkau menghendakinya.” (HR Ibnu Hibban, No. 974).
Makna kehidupan bukan sekadar matlamat kehidupan dan tidak boleh dipaksa-paksa dengan kata-kata motivasi dan tazkirah.
Ia adalah aktiviti dengan emosi dan rohani yang sedang dalam proses penerokaan dan tugas kita adalah memberi bimbingan dan mempermudahkan proses memaknai hidup.
*Sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri pada 10 September 2023
*Dr Alizi Alias merupakan Konsultan Psikologi Organisasi Ahli Majlis Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)