MANILA - NELAYAN Filipina, Arnel Satam 'tetap tenang' ketika dia melarikan diri daripada pengawal pantai Beijing perairan cetek di Terumbu Scarborough di kawasan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan ketika insiden pada Jumaat lalu.
Kejadian itu turut disaksikan wartawan AFP yang menaiki kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik, BRP Datu Bankaw yang menghantar bekalan makanan, air minuman dan bahan api kepada kumpulan nelayan tempatan di perairan sensitif tersebut.
Nelayan di kawasan itu mendakwa tindakan pencerobohan China telah merampas sumber pendapatan utama dan tempat perlindungan mereka ketika berdepan ribut.
"Saya mahu menangkap ikan di sana. Saya sengaja melakukan tindakan yang kemudiannya akan menyebabkan dikejar pihak berkuasa China.
"Saya hanya tertawakan mereka apabila gagal memintas saya,” ujar Satam, 54.
Sementara itu, BRP Datu Bankaw mengambil masa selama 18 jam berlayar sejauh lebih 300km ke Terumbu Scarborough dari pelabuhan di Teluk Manila demi untuk menghantar bekalan.
Terdapat lebih 500 bot kayu atau ‘mother boat’ beroperasi di perairan tersebut yang menjadi rebutan.
Sebahagian daripada nelayan berada di lokasi berkenaan selama dua minggu untuk menangkap beberapa jenis ikan termasuk tuna menggunakan pukat, tali dan lembing.
Aktiviti mereka sentiasa diawasi dan berdepan ancaman pengawal pantai China.
Kehadiran BRP Datu Bankaw turut tidak disenangi Beijing dan pengawal pantai menghantar mesej amaran dalam bahasa Inggeris sebanyak 15 kali pada papan mesej digital untuk ‘mengusir’ mereka.
Tanpa menghiraukan amaran itu, 12 kru kapal tersebut terus memindahkan bekalan asas penting kepada bot nelayan di perairan berkenaan.
Sebagai balasan, kumpulan nelayan itu memberikan sedikit hasil tangkapan laut segar kepada kru tersebut.
"Kami sangat berterima kasih atas bantuan ini,” kata Johnnya Arpon, 53, yang mengendalikan bot Janica sepanjang 10 meter yang tiba di beting pasir di lokasi BRP Datu Bankaw berlabuh untuk mendapatkan diesel tambahan.
'Kawasan milik kami'
Sebahagian daripada nelayan itu juga berkongsi pengalaman mereka dikejar dan ditembak dengan meriam air oleh kapal China.
"Ini adalah kawasan milik kami. Mereka sepatutnya pergi dari sini,” tegas Nonoy de los Reyes, 40, merujuk kepada Terumbu Scarborough tersebut.
Sekatan Beijing di beting itu telah menyekat punca pendapatan kumpulan nelayan tersebut yang hanya dapat membuat keuntungan kecil.
"Kami sukar mendapatkan tangkapan yang banyak. Oleh itu, terpaksa kekal di sini untuk tempoh dua minggu lagi,” jelas Alex del Campo, 41, yang sudah menghabiskan masa selama lebih seminggu di laut.
Del Campo menjelaskan dia bersama dua rakannya pernah membuat cubaan 'berani mati' untuk memasuki kawasan larangan tersebut dengan bot kecil, namun akhirnya dikejar pengawal pantai China."Kami tidak berdaya kerana mereka lengkap bersenjata. Jika mereka rempuh bot ini, siapa yang mahu selamatkan kami?” ujarnya. - AFP
INFO
Terumbu Scarborough terletak kira-kira 240 kilometer (km) di barat Pulau Luzon di Filipina dan hampir 900km dari kawasan daratan Hainan di China.
Di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982, Beijing mempunyai bidang kuasa ke atas sumber asli dalam lingkungan 370km dari pantai mereka.
Beijing menuntut kedaulatan ke atas hampir seluruh kawasan di Laut China Selatan, merampas kawalan di Terumbu Scarborough dari Manila pada 2012.
Sejak itu, ia telah mengerahkan pasukan pengawal pantai dan kapal untuk menyekat akses ke kawasan tangkapan ikan yang menjadi mata pencarian nelayan Filipina sejak bergenerasi.
Sekatan sementara itu menghalang bot nelayan Filipina daripada memasuki kawasan berhampiran Terumbu Scarborough.
Klik di sini untuk terus membaca