SHAH ALAM - Parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dijangka memberi fokus kepada strategi mendekati pengundi secara sederhana bagi mengelak kelesuan politik berpanjangan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia berikutan kelesuan politik ketara menjejaskan peratusan keluar mengundi seperti yang berlaku dalam pilihan raya lalu.
Ujar beliau, dari segi momentum, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dilihat jelas dengan rangka kerjasama kempen strategik untuk mendekati pelbagai kumpulan penyokong masing-masing.
"Calon berusaha mendekati setiap penjuru baik kawasan putih, kelabu, hitam untuk menampakkan kehadiran calon bersama jentera dan disebabkan DUN Pelangai ini kecil, ia tidak memerlukan kempen besar-besaran.
"Yang diperlukan adalah strategi 'kenal dan tawan'. Saya rasa itu yang cuba dilakukan oleh calon PH-BN tetapi ia berbeza dengan strategi Pas iaitu lebih ‘senyap dan tawan’ yang tidak begitu ketara.
"Mungkin kempen kali ini mahu mengelak daripada unsur sabotaj, menarik pengundi tegar, elak undi protes dan memastikan pengundi luar balik termasuk golongan belia, remaja serta dewasa,” katanya.
Kata beliau, faktor gelombang hijau daripada Pas juga tidak boleh diambil mudah oleh gabungan PH-BN.
"Ia kerana sudah pasti Pas juga akan memastikan pengundi tegar mereka keluar dan mengharapkan ada protes dalam kalangan pengundi lawan,” ujarnya.
Menurut Sivamurugan, terlalu awal untuk melihat impak strategi parti yang bertanding dalam PRK kali ini memandangkan masih berbaki dua minggu sebelum tarikh pengundian.
"Sekarang ini yang kita nampak adalah strategi umum. Yang terakhir itu, mereka akan balas balik dengan isu termasuk tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran, baru-baru ini.
"Jangkaan itu akan lebih jelas pada 48 jam terakhir tetapi buat masa ini, ia masih menyebelahi BN-PH,” jelasnya.
Sebelum ini, Howard dalam video di TikTok mentafsirkan potongan ayat surah an-Nisa untuk menggesa umat Islam menyokong Kerajaan Perpaduan.
Klik di sini untuk terus membaca