SHAH ALAM - Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB) sedia bertindak sebagai koordinator bagi membantu kerajaan memudahkan proses pentadbiran harta pusaka orang Islam terutama kepada waris pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya.
Presiden Kumpulannya, Ariffin Sabirin berkata, sejak ditubuhkan pada 2004 lalu, pihaknya telah memainkan peranan aktif dalam membantu proses yang terbahagi kepada dua iaitu di Pejabat Pusaka Kecil untuk harta pusaka bernilai kurang RM5 juta dan mahkamah sivil bagi harta pusaka melebihi RM5 juta.
"Sebagai koordinator, WSB akan bertemu waris-waris secara peribadi untuk menerangkan mengenai hukum berkaitan harta pusaka, hak mereka mengikut hukum syarak dan proses perundangan yang perlu dilalui.
"WSB juga menyediakan semua dokumentasi berkenaan dan membuat permohonan bicara pusaka.
"Perkhidmatan secara peribadi yang diberikan ini membolehkan proses perbicaraan berjalan lancar sekali gus menyelesaikan kes pusaka dengan cepat dan mudah,” katanya kepada Sinar Harian.
Sinar Ahad sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pentadbiran pusaka orang Islam memerlukan reformasi dan pembaharuan agar dapat bersesuaian dengan perkembangan teknologi serta digitalisasi semasa.
Ujarnya, terdapat cabaran dan peluang dalam memperkukuhkan pentadbiran pusaka orang Islam melalui penggunaan teknologi yang sesuai dan inovatif.
Sementara itu, ditanya bagaimana WSB dapat membantu dalam memudahkan urusan pentadbiran pusaka, Ariffin menjelaskan, kebanyakan pelanggannya telah menyediakan dokumen perancangan harta mereka seperti hibah, wasiat atau harta sepencarian.
Katanya, perkara tersebut menjadikan pengagihan harta menjadi lebih telus, tepat dan mengelakkan perbalahan di antara waris terlibat.
"Apabila pelanggan meninggal dunia pula, bergantung kepada pakej perkhidmatan yang dipilih, WSB akan menguruskan proses perundangan yang terlibat di Pejabat Pusaka Kecil, mahkamah sivil atau mahkamah syariah tanpa mengenakan sebarang fi perkhidmatan kepada waris.
"WSB satu-satunya syarikat amanah di Malaysia yang memberikan khidmat tanpa mengenakan fi perkhidmatan kepada waris,” jelasnya.
Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) sebelum ini mendedahkan dana tertangguh atau Wang Menunggu Dituntut (WMD) yang tersimpan di agensinya mencecah RM500 juta sehingga kini.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, wang tunai itu adalah milik waris yang tidak dapat diserahkan atas sebab-sebab tertentu dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan.
KESAN JIKA PENTADBIRAN HARTA PUSAKA TIDAK DILAKUKAN DENGAN BAIK
Perbalahan waris-waris - Sekiranya harta pusaka tidak diurus dengan tepat dan cepat, sentiasa ada kemungkinan akan berlaku perbalahan antara waris-waris.
- Walaupun hukum faraid telah menetapkan bahagian waris-waris, ia tidak menetapkan secara tetap apakah jenis harta yang dimiliki - Ini akan menyebabkan musnahnya institusi kekeluargaan selepas kematian ibu atau ayah Harta pusaka tidak boleh digembleng bagi tujuan ekonomi - Harta pusaka yang tidak diturunmilik secara sah kepada waris yang berhak tidak boleh digembleng bagi tujuan ekonomi.
- Harta pusaka yang masih di atas nama si mati tidak boleh dimajukan, dipajak, dijual atau diusahakan secara bersama.
- Harta pusaka ini tidak terbengkalai dan gagal memberi kesan ekonomi kepada waris.
Kerajaan kerugian hasil cukai - Apabila harta pusaka masih di atas nama si mati, kerajaan juga tidak dapat mengutip hasil cukai.
- Ini kerana semua waris berasakan harta pusaka itu bukan milik mereka sahaja (kerana ada waris lain mengikut hukum faraid). Jadi, tiada sebab untuk mereka membayar hasil cukai harta tersebut
Klik di sini untuk terus membaca