SHAH ALAM - Stigma takut dianggap tamak merupakan antara faktor waris mengambil masa lama sebelum membuat keputusan memulakan proses tuntutan harta pusaka melibatkan orang Islam.
Presiden Kumpulan Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB), Ariffin Sabirin berkata, akibat persepsi itu mengakibatkan proses tuntutan menjadi lebih mencabar.
"Dalam kalangan orang Melayu, ada stigma bahawa ‘tanah kubur masih lagi merah’. Jangan dituntut harta pusaka. Ada juga kepercayaan bahawa jika harta pusaka dituntut dengan cepat sebaik selepas kematian, waris akan dipandang serong oleh keluarga yang lain sebagai tamak harta,” katanya.
Ariffin berkata, kegagalan waris untuk memahami proses perundangan yang terlibat juga membuatkan mereka beranggapan proses membuat tuntutan rumit, leceh dan memakan masa.
Selain itu katanya, kekangan masa kerana tugas hakiki serta alasan menunggu masa yang lebih lapang turut menyebabkan waris cenderung menangguhkan usaha menguruskan harta pusaka.
"WSB pernah berjumpa kes yang kematian tuan punya harta berlaku 70 tahun lepas. Apabila ditangguhkan, ada waris yang berhak telah mati dan ini menyebabkan waris kepada waris-waris yang telah mati turut berhak ke atas harta pusaka.
"Ini menyebabkan wujudnya waris berlapis-lapis sehingga ratusan orang yang berhak ke atas harta pusaka mereka. Apabila jumlah waris terlibat terlalu ramai, proses penyelesaian pusaka menjadi lebih rumit,” jelas beliau.
Tambahnya, proses menguruskan harta pusaka yang mahal juga mendorong waris lewat membuat tuntutan.
Kata Ariffin, Akta Probet dan Pentadbiran 1959 menetapkan bahawa pihak yang menguruskan harta pusaka boleh mengenakan fi perkhidmatan sehingga lima peratus daripada nilai harta pusaka tidak termasuk yuran lain.
Akibat itu jelasnya, waris yang tidak berkemampuan dari segi ekonomi bimbang untuk memulakan proses pengurusan pusaka kerana tidak tahu kos yang akan dikenakan dan siapa antara mereka perlu menanggung bayaran tersebut.
Dalam pada itu, Ariffin berkata, Mahkamah syariah perlu lebih terbuka untuk menerima dokumen dan bahan bukti digital bagi mempercepatkan proses tuntutan harta pusaka orang Islam selari dengan perkembangan teknologi serta digitalisasi semasa.
Menurutnya, langkah ini penting bagi memastikan proses reformasi dan pembaharuan pentadbiran pusaka orang Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Jelas beliau, cadangan digitalisasi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga disifatkan sangat baik.
"Mahkamah Syariah perlu melihat kepada bagaimana E-Syariah yang diguna pakai sekarang boleh diintegrasikan dengan sistem-sistem pihak ketiga seperti UsraHDD WSB.
"Ia supaya urusan perancangan harta seperti penyediaan dokumen hibah, wasiat Islam, harta sepencarian dan dokumen-dokumen berkaitan lain dapat dilaksanakan dengan lebih lancar lagi bagi kemudahan masyarakat tanpa kompromi,” katanya.
Ariffin menambah, antara cabaran lain yang perlu diatasi bagi memastikan reformasi untuk pentadbiran itu terlaksana ialah dengan mendidik masyarakat untuk faham bahawa pentingnya menyediakan dokumen perancangan harta seperti hibah, wasiat dan dokumen lain bagi memudahkan urusan harta pusaka apabila meninggal dunia nanti.
"Undang-undang berkaitan harta pusaka juga dipandang rumit oleh masyarakat terutamanya di Semenanjung kerana ia melibatkan sivil dan syariah. Masyarakat terkeliru kerana mereka tidak faham ke mana harus mereka tuju dan prosesnya.
"Situasi ini berbeza dengan di Sabah dan Sarawak yang mana urusan harta pusaka orang Islam hanya berlaku di mahkamah syariah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca