SHAH ALAM - Cadangan untuk memecahkan monopoli beras mampu mewujudkan persaingan sihat sekali gus dapat menurunkan harga bahan makanan ruji itu di negara ini. Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan untuk memecahkan monopoli beras mampu mewujudkan persaingan sihat sekali gus dapat menurunkan harga bahan makanan ruji itu di negara ini.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, menjadi kebiasaan harga sesuatu barang akan turun selepas berlakunya penambahan pesaing.

Bagaimanapun katanya, perkara itu mungkin sukar berlaku sekiranya penawaran beras terhad atau berkurang kerana ia akan meningkatkan lagi harga.

"Dasar monopoli beras ini mungkin sudah sampai ke penghujungnya yang mana lesen perlu diberikan kepada syarikat lain bagi melahirkan satu persaingan yang sihat antara mereka dari sudut harga, kualiti, pembungkusan dan lain-lain.

"Dalam erti kata lain, masyarakat mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli beras di pasaran dengan pelbagai tingkat harga.

"Sebagai contoh dalam industri penerbangan. Sebelum ini kita hanya mempunyai syarikat Malaysia Airlines yang mana harga tiket agak mahal dan sukar untuk rakyat menaiki kapal terbang kecuali bagi mereka yang kaya.

"Tetapi dengan adanya AirAsia, maka persaingan menjadi menarik yang mana harga tiket menjadi murah dan ramai yang dapat menaiki pesawat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan memecahkan monopoli beras di negara ini susulan isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan ruji itu ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, kerajaan juga perlu terlibat secara langsung sekiranya berhasrat untuk memecahkan monopoli berkenaan bagi mengelak sebarang kesan tidak diingini susulan tindakan tersebut.

Jelasnya, cadangan untuk memecahkan monopoli beras negara menjadi tindakan baik sekiranya mempunyai kerangka dan matlamat yang masih berorientasikan kepada mengekalkan bekalan mencukupi kepada masyarakat dengan harga mampu milik dan berpatutan.

"Sekiranya kerajaan bersetuju untuk membenarkan dasar monopoli beras ini dibuka kepada pihak lain supaya harga akan mengalami penurunan dan keperluannya mencukupi, maka kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang sangat ketat.

"Ia meliputi sudut pemberian subsidi, harga padi, kaedah timbangan, pengawalan import beras, pemantauan kilang-kilang dan sebagainya,” ujarnya.

Tambah Mohd Faisol, hukuman berat kepada pengilang atau pihak yang memanipulasikan pengeluaran beras termasuk peniaga atau orang tengah yang menyorok beras di pasaran gelap juga perlu dilaksanakan.

Monopoli import beras negara ketika ini dipegang Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

Kontroversi kekurangan beras melanda Malaysia selepas Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa bermula 1 September lalu.

Menurut Bernas, faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India baru-baru ini.

Susulan kenaikan harga beras putih import itu, gangguan bekalan beras tempatan juga didapati berlaku dan mengakibatkan pengguna sukar untuk mendapatkannya di pasaran ketika ini hingga mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Klik di sini untuk terus membaca