SHAH ALAM - Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober nanti, dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM395 bilion daripada kerajaan berdasarkan keadaan kewangan negara ketika ini. Pakar ekonomi dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 13 Oktober nanti, dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM395 bilion daripada kerajaan berdasarkan keadaan kewangan negara ketika ini.

Pakar ekonomi dari University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia dianggarkan melibatkan peningkatan peruntukan antara satu ke dua peratus berbanding Belanjawan 2023 yang menelan belanja RM388.1 bilion.

Menurutnya, peruntukan yang akan dibelanjakan kerajaan dijangka tidak melebihi RM400 bilion kerana dikhuatiri Malaysia menanggung hutang yang lebih banyak.

"Saya jangka, jumlah keseluruhan peruntukan Belanjawan 2024 tidak akan kurang daripada peruntukan tahun 2023, mengambil kira keperluan rakyat, negara dan tidak akan naik sampai RM400 bilion.

"Dari segi agenda utama bagi Belanjawan 2024, ia tertumpu kepada penambahbaikan keselamatan makanan negara terutama apabila berlaku kenaikan harga beras.

"Usaha (kerajaan kini) membantu golongan berpendapatan rendah, fokus kepada sektor pendidikan dan suntikan terhadap pelaburan berasaskan ekonomi hijau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Shazali yang juga Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pengajian Siswazah di i-CATS University College menjelaskan, jangkaan itu berdasarkan petunjuk daripada perkara yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebutkan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) pada 11 September lalu dan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

"Belanjawan itu akan menyokong pelaksanaan RMK12 dan sebagai persediaan ke arah RMK13 kerana struktur ekonomi akan berubah banyak ke arah ekonomi hijau.

"Dari segi membantu rakyat, saya jangka kerajaan akan teruskan inisiatif itu termasuk meningkatkan pemberian bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mengambil kira kos sara hidup semasa,” ujarnya.

KEUTAMAAN

Ditanya mengenai sektor kritikal yang memerlukan peruntukan paling banyak, Shazali menegaskan, sekuriti makanan perlu diberi penekanan secara menyeluruh supaya Malaysia berdikari mengeluarkan bekalan makanan sendiri.

"Kita masih bergantung kepada bekalan makanan seperti beras dan makanan ternakan dari luar. Perlu ada lonjakan memodenkan sektor tani dan manfaatkan tanah yang luas di Sarawak serta Sabah untuk pertanian.

"Buat reformasi hijau atau beri nafas baharu kepada sektor pertanian ini. Sediakan infrastruktur seperti saliran yang baik di Sarawak dan Sabah supaya boleh ditanam padi tiga kali setahun seperti di Sekinchan, Selangor,” tambahnya.

Shazali
Shazali
Shazali

Katanya, dari segi pendidikan, peruntukan munasabah juga perlu disalurkan kepada sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Bantuan pendidikan juga perlu diberikan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana mereka pun penyumbang kepada pembangunan negara yang akan membolehkan yuran pengajian lebih murah.

"Sekurang-kurangnya berilah geran pembangunan dan letakkan syarat kepada IPTS untuk kurangkan yuran.

"Ia akan galakkan pelajar menyambung pengajian kerana sekarang ini, ramai yang tidak berminat sebab dapat tawaran kursus di institusi pengajian tinggi awam yang tidak menarik bagi mereka,” kata beliau.

Senada dengan Shazali, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, kenaikan peruntukan itu dijangka dalam jumlah yang minimum.

Baharom
Baharom

"Atau mungkin peruntukan itu hampir atau sama Belanjawan 2023 dan agenda utama bajet memfokuskan kepada sektor pendidikan serta kesihatan.

"Saya juga yakin kerajaan akan utamakan pembangunan infrastruktur dan banyak bayangan yang diberi sebagai contoh beberapa projek mega akan dikembalikan dan ditambah baik,” beritahunya.

Baharom memaklumkan, sektor kesihatan sememangnya perlu diberi perhatian lebih oleh kerajaan memandangkan sistem kesihatan negara tidak mampu menampung jumlah pesakit selain peralatan usang yang tidak diganti.

"Kita kerap dengar rungutan bahawa berlakunya urbanisasi atau penghijrahan ke bandar hingga hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit dan peralatan yang ada pula lama tidak berganti.

"Kesihatan ini satu kekayaan. Kalau rakyat sihat, mereka akan produktif. Jadi sektor kesihatan memerlukan suntikan ataupun bajet yang munasabah sebab ia penting untuk kelestarian pertumbuhan ekonomi,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca