SHAH ALAM - Kehadiran dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dijangka tidak memberi impak besar kepada gabungan berkenaan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, jangkaan itu bersandarkan situasi yang berlaku ketika PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai baru-baru ini apabila kemunculan kedua-dua tokoh tersebut tidak membantu memberi kemenangan kepada calon mereka.
"Saya boleh katakan strategi itu (Dr Mahathir dan Muhyiddin) turun berkempen tidak memberi impak yang begitu kuat (kepada PN). Asasnya kita telah melihat apa yang sudah berlaku semasa PRK di Johor awal bulan ini (September).
"Pokoknya (kehadiran kedua-dua tokoh) itu hanya untuk perkukuhkan naratif dan menarik pengundi atas pagar atau mungkin sasarkan orang UMNO yang hendak buat undi protes.
"Jadi, kehadiran mereka boleh disifatkan sebagai tambah nilai tetapi untuk beri impak besar itu agak sukar sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gerakan kempen PRK DUN Pelangai PN dijangka terus hangat dengan kehadiran bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Menurut Mujibu, faktor DUN Pelangai yang disifatkan kubu kuat UMNO juga menyebabkan calon PN sukar menembusi kawasan tersebut.
Selain itu, katanya, kerusi DUN Pelangai milik UMNO juga turut menjadi asas kepada sukarnya untuk ditembusi lawan, kembalinya bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob ke pangkuan parti dan ‘bank undi’.
"Kalau dilihat kepada faktor-faktor yang saya sebutkan itu, maka UMNO boleh menang memandangkan ia merupakan kawasan selamat,” katanya.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PN dan Bebas.
Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 adalah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi, manakala PH menang lapan kerusi. Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.
Klik di sini untuk terus membaca