JOHOR BAHRU - Sebilangan kerajaan negeri meluahkan harapan agar Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober nanti, menumpukan sektor pertanian bagi mengisi keperluan rakyat. Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Sebilangan kerajaan negeri meluahkan harapan agar Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober nanti, menumpukan sektor pertanian bagi mengisi keperluan rakyat.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, tumpuan hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayuran dari negeri ini sebenarnya menerima permintaan termasuk dari luar negara.

ZAHARI
ZAHARI

"Sebenarnya kita sedang berbincang dengan jabatan-jabatan, cuma belum diputuskan di peringkat kerajaan negeri.

"Di bawah portfolio saya, ada beberapa jenis tanaman yang kita berikan tumpuan seperti nanas, durian, nangka yang mendapat permintaan dari dalam dan luar negara.

"Dari segi sayur-sayuran pula, memang hanya untuk pasaran tempatan sebab tak cukup ke luar negara kecuali Singapura,” katanya kepada Sinar Harian.

AMINUDDIN
AMINUDDIN
AMINUDDIN
AMINUDDIN

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya telah pun menyenaraikan hasrat itu secara bertulis kepada Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dalam Jelajah Belanjawan 2024, baru-baru ini.

"Banyak wishlist kita. Antaranya infrastruktur, pertanian dan dari segi jalan raya antara keutamaan kita.

"Setiap tahun kerajaan Persekutuan akan bagi bajet kepada kita tapi tiada keperluan meruncing di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keperluan dalam aspek pembangunan dan Infrastruktur merangkumi semua daerah di negeri itu telah dimasukkan dalam pelan tindakan dan diserahkan kepada kerajaan Pusat.

Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk membuat justifikasi dalam menyenarai pendek tentang pengagihan bajet yang akan diumumkan.

Di KELANTAN, bidang pertanian dikatakan mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan sekali gus meningkatkan dan menyumbang lebih banyak hasil pengeluaran produk tani dalam negara.

Tuan Mohd Saripudin menunjukkan hasil padi di negeri Kelantan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya mengalami kekangan untuk menggerakkan projek-projek tanaman berskala besar berikutan mengalami kekurangan dari segi kewangan.

Katanya, Kelantan juga merupakan sebuah negeri yang mempunyai banyak peluang dalam bidang pertanian yang boleh diterokai.

"Kelantan tak pernah mendapat peruntukan besar untuk pembangunan berskala komersial.

"Misalnya sebuah projek fertigasi untuk rakyat bagi penanaman terung, kerajaan negeri sediakan tapak namun masih terbatas dari segi kewangan untuk melaksanakan aspek-aspek lain.

"Lagi satu hasrat kami untuk membina kilang memproses dedak yang belum terhasil sedangkan petani di negeri ini mampu menanam dan menghasilkan bahan-bahan makanan mentah seperti jagung, sawit serta kismis,” katanya.

Menurut beliau, banyak projek pertanian dengan kerjasama kerajaan pusat dirangka oleh kerajaan negeri bagi memastikan keterjaminan makanan dalam negara.

Tegasnya, sudah lebih 20 kertas kertas dibawa ke peringkat atasan sejak dua tahun lepas bagi merealisasikan projek-projek tanaman berkenaan.

"Pelan dan perancangan sektor pertanian, industri agromakanan dan komoditi di Kelantan melibatkan pakar-pakar.

"Melalui Belanjawan 2024, kami harap ada bahagian yang banyak untuk Kelantan merancakkan lagi bidang pertanian,” kata beliau.

Tambah beliau, Kelantan juga merealisasikan Jelapang Makanan Negara selepas mencapai pengeluaran padi dan beras melebihi 200 peratus tahap sara diri (SSL) ketika ini.

Klik di sini untuk terus membaca