SHAH ALAM - Sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) utama negara, kerajaan negeri Selangor mahukan jumlah peruntukan adil dan seimbang demi kelangsungan dan kelestariannya. Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) utama negara, kerajaan negeri Selangor mahukan jumlah peruntukan adil dan seimbang demi kelangsungan dan kelestariannya.

Exco Pelaburan Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, menjadi satu perkara yang penting bagi Selangor ketika ini adalah bagaimana untuk membangun secara lestari.

"Contohnya cara untuk membangunkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kita dengan lebih jitu supaya rakyat dapat pekerjaan bernilai tinggi dan pelabur luar serta dalam negara dapat keyakinan untuk bertapak di Selangor kerana ekosistem IKS yang kondusif.

"Insentif cukai yang berkesan kepada IKS seperti bantuan insentif cukai kepada yang telah atau sedang beralih kepada automasi boleh dipertimbangkan, dengan syarat IKS ini menggunakan tenaga kerja tempatan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, untuk pengangkutan awam pula, kerajaan Persekutuan diharap menyokong usaha-usaha pembangunan first and last mile yang telah dimulakan kerajaan negeri seperti sistem van DRT (ride sharing menggunakan van), micromobility seperti skuter elektrik dan penyambungan serta baik pulih laluan pejalan kaki di hub pengangkutan awam.

Katanya, kerajaan Pusat boleh mempertimbangkan penyediaan laluan transit aliran bas (BRT) di kawasan tumpuan ramai seperti sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

"Kerajaan Selangor sedia bekerjasama menerokai usaha itu kerana ia dapat membantu meredakan lalu lintas dengan kadar perbelanjaan rendah berbanding pembinaan sistem rel kerana bas akan bergerak di laluan khas di atas jalan raya.

"Usaha seperti yang dilakukan di laluan bas Jalan Ampang sejak dua bulan lalu merupakan contoh yang baik," katanya.

Katanya lagi, selain berharap semua sistem rel dalam pembinaan siap dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan Selangor berharap dapat dipertimbangkan pembangunan rel dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke bahagian selatan dan utara Selangor supaya ketersambungan jaringan rel di kawasan itu dihubungkan ke pintu masuk utama negara.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berharap peruntukan ditingkatkan untuk program pemulihan anak istimewa melalui institusi sedia ada iaitu Anis (Anak Istimewa Selangor).

"Belanjawan 2024 juga perlu ambil kira persiapan Selangor sebagai negeri menua dengan peruntukan untuk menjaga ekonomi dan penjagaan warga emas," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin pula berharap program manfaat kepada rakyat dalam penjagaan kesihatan dan alam sekitar turut mendapat peruntukan tambahan.

Beliau berkata, antaranya ialah program popular sebelum ini seperti bantuan rawatan kesihatan menerusi program Bantuan Sihat Selangor selain program sedia ada untuk alam sekitar.

Klik di sini untuk terus membaca