LARANTUKA (Indonesia) - Surat edaran yang dikeluarkan Bupati Flores Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia menyarankan penduduk supaya tidak makan nasi pada setiap Jumaat telah mencetuskan pelbagai reaksi.
"Kesemua penduduk disarankan untuk mempelbagaikan makanan berdasarkan sumber daya lokal untuk menggantikan makanan ruji tersebut,” kata Doris Alexander Rihi sambil menambah surat pekeliling itu telah dikeluarkan pada Khamis lalu.
Menurutnya, surat edaran itu telah diedarkan kepada seluruh kepimpinan di wilayah tersebut.
"Penduduk boleh beralih kepada sumber karbohidrat alternatif yang mengenyangkan. Ia tidak semestinya nasi sebagai persediaan untuk menghadapi krisis beras dan ancaman kemarau serta menggerakkan sektor ekonomi masyarakat.
"Ia juga dapat mewujudkan komuniti lebih sihat, aktif dan produktif yang tidak hanya bergantung kepada pengambilan nasi,” jelasnya.
Saranan tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai respons pengguna media sosial dan sebahagian besar daripadanya menganggap ia bukanlah jalan penyelesaian yang tepat untuk menangani kenaikan harga beras dan krisis bekalan tersebut.
"Kenapa tidak suruh kami puasa sunat Isnin Khamis je?” sindir pemilik akaun @sekotakjingga.
Terdapat juga komen positif yang bersetuju dengan langkah yang disyorkan pemerintah wilayah itu.
"Idea ini sememangnya bagus kerana kita dapat memilih makanan lokal lain seperti jagung, ubi kayu sagu dan lain-lain. Di wilayah barat sekarang sudah mula trending penanaman sekoi dan mengurangkan pengambilan nasi,” ujar pemilik akaun @rentirosmalis. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca