ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan diharap membantu Kedah dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebagaimana diperuntukkan dalam prinsip federalisme. Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, hubungan Persekutuan dan... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan diharap membantu Kedah dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebagaimana diperuntukkan dalam prinsip federalisme.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, hubungan Persekutuan dan negeri terikat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya kepentingan rakyat Kedah tidak diketepikan disebabkan perbezaan parti politik yang memerintah.

Menurutnya, perkara ini bukan hanya menjadi isu utama kepada negeri-negeri pembangkang semata-mata malah ia termasuk di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak yang turut tergolong sebagai negeri miskin.

"Isu ini telah saya sebutkan berkali-kali dalam Dewan Rakyat supaya Kerajaan Persekutuan memperteguhkan prinsip federalisme sama ada dalam bentuk federalisme pentadbiran, fiskal mahupun pembangunan.

"Kedah mempunyai road map yang telah tersedia dan perlu dicapai dalam tempoh berbaki menerusi Pelan Pembangunan Kedah 2035. Namun untuk mencapai keseluruhan kerangka yang dirancang, memerlukan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan. Diharap kerajaan bertindak dengan cara yang sepatutnya,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, cabaran kedua Kedah ialah menguruskan kemiskinan dan memperbaiki taraf hidup rakyat selain memastikan peningkatan tahap mobiliti sosial.

"Bagaimana Belanjawan 2024 ini akan menjadi intervensi fiskal yang strategik untuk menghadapi isu-isu rakyat ketika ini?” soalnya.

Oleh itu, tegas beliau, keutamaan dalam Belanjawan 2024 sudah tentu untuk mensejahterakan rakyat selain memperkukuhkan asas hubungan federalisme.

Dalam pada itu katanya, aspek ketiga yang diharapkan rakyat Kedah adalah mahu semua projek pembangunan yang dirancang mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan antaranya Kedah Rubber City (KRC), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah Aerotropolis serta Lapangan Terbang Kulim (KXP).

"Sebahagian projek itu direncanakan bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Kedah bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan projek-projek pembangunan negeri,” jelasnya.

Ahmad berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada pembangunan Pelabuhan Yan yang diumumkan tahun lepas serta pembayaran pampasan Hutan Simpan Ulu Muda, pengekalan sawah padi dan pembekalan air ke Pulau Pinang perlu diperhalusi untuk kepentingan bersama.

"Ini antara harapan rakyat Kedah yang meletakkan kepercayaan supaya Belanjawan 2024 dapat diagihkan secara seimbang dan adil,” ujarnya.

Menurutnya, diharapkan pendekatan Belanjawan 2024 bersifat lebih inklusif, terbuka dan telus.

"Inklusif dalam konteks tiada yang dipinggirkan, terbuka dalam konteks perangkaan strategi, data dan angka serta telus dalam konteks integriti penyampaian dasar-dasar kepada rakyat,” jelasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca