DAHULU apabila pelbagai imbuhan diberi untuk membeli undi, strategi untuk mengalahkan sogokan pilihan raya ialah mengajar pengundi untuk ambil sahaja apa yang diberi, namun tetap mengundi pihak lawan. Strategi ‘duit ambil, undi jangan... Klik di sini untuk terus membaca

DAHULU apabila pelbagai imbuhan diberi untuk membeli undi, strategi untuk mengalahkan sogokan pilihan raya ialah mengajar pengundi untuk ambil sahaja apa yang diberi, namun tetap mengundi pihak lawan.

Strategi ‘duit ambil, undi jangan bagi’ ini cukup untuk menghindari parti yang tidak dapat menang tanpa sogokan. Parti sebegini pasti kalah dan kehilangan semua yang digunakan untuk menyogok pengundi dan membeli undi.

Apa jadi jika parti yang memberi sogokan itu cukup popular sampai ia tetap boleh menang cuma dengan majoriti yang lebih kecil jika tanpa sogokan? Adakah perbuatan membeli undi ini menjadi tidak keji kerana kemenangan tidak bergantung pada undi yang berjaya diundi?

Sebagai analogi, jika Nobita boleh dapat A dengan menipu dalam peperiksaan, adakah penipuannya boleh kita terlepas pandang kalau Nobita memang boleh lulus peperiksaan dengan C kalau tak tipu?

Di bawah undang-undang yang sedia ada, mahkamah biasa hanya akan memutuskan pembatalan keputusan pilihan raya jika terbukti wujudnya gejala pembelian undi.

Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika calon disabit melakukan penyogokan (kesalahan di bawah Seksyen 10), dia tidak boleh mengundi atau menjadi calon selama lima tahun, selain boleh dipenjarakan tidak lebih dua tahun, didenda antara RM1,000 hingga RM5,000.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kedua-dua kawasan parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman telah pun dibatalkan oleh mahkamah pada 27 Jun dan 26 September lalu. Sebabnya kerana berlaku penyogokan pengundi dalam bentuk bantuan kerajaan i-Belia, i-Siswa dan i-Pencen oleh kerajaan Negeri.

Ganjilnya, kedua-dua calon ini tidak dinyahlayakkan. Lagi ganjil lagi, keputusan PRU15 dikekalkan untuk kawasan Parlimen Marang sungguhpun kesnya serupa.

Dalam kes Kuala Terengganu, Pas tidak mencabar keputusan mahkamah tetapi menamakan penyandang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, dan penyandang menang dengan majoriti yang lebih besar. Tidak tahulah sama ada perkara yang sama akan berlaku di Kemanman.

Keputusan mahkamah dalam keduadua kes ini besar ertinya dengan melakarkan garis merah: sumber kerajaan tidak boleh disalahgunakan untuk menang pilihan raya. Ini seharusnya menjadi amaran kepada semua parti yang menerajui atau menyertai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Di Terengganu juga, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan kepada golongan belia di negeri itu didakwa parti lawan sebagai satu sogokan (Seksyen 10) atau mempengaruhi secara tidak wajar (Seksyen 9) pengundi di Kuala Terengganu.

Beliau mengumumkan peruntukan itu sebelum hari penamaan. Akan tetapi, kerana calon disokongnya kalah, tiada kes dibawa ke mahkamah untuk mencabar keputusan pilihan raya.

Bagaimana kita dapat mencegah parti daripada membeli undi – sama ada dengan dana kerajaan atau dana peribadi – jika mahkamah tidak menyahlayakkan calon yang beli undi?

Satu-satunya harapan kita untuk memelihara integriti atau decency (budi) dalam pilihan raya ialah pengundi.

Pemegang jawatan awam telah diingatkan bahawa kalau mereka gagal menunaikan amanah, jawatan tinggi menjadi beban berat sehari nanti.

Mungkin kempen #RasuahBuster perlu popularkan kesedaran yang sama dalam kalangan pengundi: undi adalah amanah kita kepada tanah air. Kalau ia boleh dijual beli, ia akan menjadi beban satu hari nanti.

Pergi kolam memancing keli,

Kuranglah belanja di kedai;

Kalau undi boleh dijual beli,

Negara juga boleh dipajak gadai.

*Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca