SHAH ALAM - Pemansuhan pencen Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyebabkan anak muda daripada kalangan generasi Z tidak berminat menjadi wakil rakyat.
Sehubungan itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, cadangan memansuhkan pencen untuk golongan tersebut tidak wajar dilaksanakan.
Malah ujarnya, kebanyakan ahli Parlimen dan ADUN bukan berasal daripada golongan kaya tetapi terpaksa bertungkus-lumus menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
"Maka pemberian pencen adalah salah satu cara untuk menghargai jasa mereka yang turut bertanggungjawab melindungi kepentingan negara.
"Mansuhkan pencen boleh merencatkan keinginan golongan Z untuk bertanding sebagai wakil rakyat pada masa akan datang.
"Bagi saya, pencen ini penting kerana mereka berkhidmat secara sepenuh masa. Sekiranya ditiadakan, agak susah untuk tarik minat anak-anak muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau mengulas isu majoriti rakyat di negara ini dan segelintir pemimpin politik termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan pencen wakil rakyat.
Tambah Ahmad Marthada, rakyat harus memahami prosedur dan tatakelola mengenai jawatan tersebut dengan mengambil kira pencen perkhidmatan awam bermula pada usia 55 tahun.
"Rakyat kena faham bagi mereka yang sebelum ini bekerja dengan kerajaan, perlu letak jawatan dan sekiranya masih muda, kena tunggu sampai 55 tahun baru boleh dapat (pencen).
"Namun, pada pandangan saya, perkara ini boleh diperhalusi atau kaji lebih mendalam kerana tak semudah itu untuk hapuskan pencen wakil rakyat,” ujarnya.
Penganalisis Politik dan Keselamatan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan, pencen adalah pengiktirafan kepada ahli Parlimen dan ADUN yang berkhidmat untuk rakyat serta negara.
"Jangan sewenang-wenangnya beri cadangan mansuhkan pencen dan bersetuju dengannya kerana ia menunjukkan ketidakmatangan.
"Kita patut bina strategi tersusun, bukan ambil langkah drastik,” ulasnya lagi.
KWSP pilihan terbaik ganti pencen
Seentara itu, pakar kewangan berpandangan skim persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pilihan terbaik bagi menggantikan pencen penjawat awam bertujuan mengurangkan bebanan kerajaan.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka, Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, ia mekanisme yang baik untuk mengimbangi fiskal negara.
"Bagi saya, sistem pencen diamalkan di negara ini satu kaedah yang baik bagi membantu individu atau penjawat awam selagi individu atau bekas penjawat awam itu masih hidup.
"Mereka tidak perlu memikirkan masalah untuk mendapatkan pendapatan ketika hari tua.
"Bagaimanapun, KWSP merupakan inisiatif lebih bagus berbanding pencen kerana kerajaan tidak perlu menanggung perbelanjaan wang yang tinggi untuk skim persaraan itu bagi tempoh panjang,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohamad Idham, melalui KWSP, tempoh pembayaran wang persaraan dibayar sekali gus dengan potongan yang dibuat sepanjang individu itu berkhidmat berbanding skim pencen, langkah tersebut sedikit sebanyak dapat menjimatkan kewangan kerajaan.
"Jadi ia mekanisme terbaik, cuma sebelum pelaksanaan perlu dapatkan maklum balas daripada penjawat awam tetapi ia boleh dilaksanakan kepada ahli Parlimen terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya pengambilan baharu penjawat awam akan menggunakan pakai skim KWSP bagi mengubah pemikiran dan kebergantungan orang ramai terhadap pencen kerajaan.
"Dengan KWSP juga secara tidak langsung memberikan rasa komitmen yang lebih kepada sesiapa sahaja untuk berkhidmat dengan kerajaan,” ujarnya.
Buat masa ini, kerajaan membelanjakan kira-kira RM40 bilion untuk pencen pesara awam termasuk ahli Parlimen.
Klik di sini untuk terus membaca