PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak boleh melaksanakan cadangan pemansuhan pencen secara menyeluruh dan drastik untuk ahli Parlimen serta penjawat awam kerana ia memberi implikasi besar terhadap sosioekonomi dan politik. Bagaimanapun,... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak boleh melaksanakan cadangan pemansuhan pencen secara menyeluruh dan drastik untuk ahli Parlimen serta penjawat awam kerana ia memberi implikasi besar terhadap sosioekonomi dan politik.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan boleh melaksanakan cadangan tersebut secara berperingkat.

"Bermula sekarang kerajaan perlu buat kajian mengenai pengambilan perkhidmatan akan datang secara tidak berpencen seperti menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi merealisasikan cadangan berkenaan.

"Banyak yang perlu dipinda dan itu adalah satu tindakan yang sangat besar serta melibatkan pendapat ramai, jadi tidaklah dapat dilaksanakan sewenang-wenangnya,” jelas Wan Junaidi.

Ujarnya, pencen ahli Parlimen sedia ada sebenarnya tidak membebankan kewangan kerajaan kerana jumlahnya sangat kecil berbanding segmen perkhidmatan awam lain.

"Tidak adil sekiranya satu segmen dimansuhkan manakala yang lain tidak dimansuh,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong selama tujuh penggal berkata, kerajaan wajar mempertimbang kemampuan penerima pencen untuk mengatasi masalah memandang mereka hanya bergantung kepada pencen sebagai simpanan apabila tamat perkhidmatan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menempelak Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilaporkan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Ujarnya, Presiden parti Muda itu tidak mempunyai pengalaman dan melihat dari sudut pandang beliau sahaja.

"Mereka (ahli Parlimen) yang berkhidmat selama 30 hingga 35 tahun dalam sekelip mata hilang pencen. Apa gantian kerajaan?

"Orang macam Syed Saddiq tidak faham, mungkin 20 tahun akan datang atau dia sudah tua nanti baru dia tahu,” katanya.

Isu pencen wakil rakyat sekali lagi muncul selepas Pakar Ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid baru-baru ini mencadangkan agar semua menteri dan ahli Parlimen tidak lagi diberikan pencen.

Menurutnya, mereka harus diajar merasai kesempitan hidup dilalui rakyat yang sering meluahkan rasa terkesan dengan kos sara hidup. Rata-rata rakyat di media sosial termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju dengan cadangan tersebut.

Malah badan pemantau pilihan raya, Bersih, meminta kerajaan memansuhkan pencen wakil rakyat dan digantikan dengan caruman KWSP.

Ini kerana kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann, ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hanya berkhidmat satu penggal iaitu empat hingga lima tahun, tetapi mereka menerima pencen seumur hidup berbanding penjawat awam yang terpaksa berkhidmat dalam tempoh yang lama.

"Tambahan pula, ahli politik berkhidmat sebagai ADUN, ahli Parlimen atau menteri ini mendapat tiga pencen berasingan yang dilihat sangat tidak adil kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Armizan Ali mengesahkan seorang wakil rakyat boleh menerima beberapa pencen serentak.

Menurutnya menerusi jawapan yang dimuat naik di laman web Parlimen, seorang ADUN boleh menerima pencen di bawah ordinan negeri, dan pada masa sama boleh menerima pencen sebagai ahli Parlimen sekiranya memenuhi kelayakan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Pada Jun pula, pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat meminta kerajaan menjelaskan dakwaan negara membelanjakan RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas wakil rakyat.

Beliau merujuk kepada satu hantaran pemilik Facebook ‘Muhamad Harris Nasril’ yang mencetuskan persoalan berhubung angka peruntukan bekas wakil rakyat yang dikatakan layak menerima pencen maksimum tiga perlima daripada RM16,000 gaji ahli Parlimen iaitu bersamaan RM9,600.

Gaji dan elaun ahli Parlimen

Ahli Parlimen di Malaysia menerima gaji dan elaun sekitar RM25,700 sebulan. Pada masa sama, mereka juga boleh menuntut elaun dan subsidi lain, seperti RM400 sehari untuk kehadiran pada Sidang Dewan Rakyat atau RM1,000 setiap tiga tahun untuk subsidi membeli pakaian formal.

Bayaran tetap bulanan

Gaji: RM16,000 sebulan

Elaun keraian: RM2,500 sebulan

Bayaran khas MP bukan anggota pentadbiran: RM1,500 sebulan

Elaun perjalanan: RM1,500 sebulan

Elaun petrol: RM1,500 sebulan

Elaun pemandu: RM1,500 sebulan

Elaun telefon: RM900 sebulan

Elaun tol: RM300 sebulan

Elaun lain

Elaun kehadiran Parlimen: RM400 sehari

Elaun mesyuarat/woksyop agensi kerajaan: RM300 sehari

Pembelian telefon bimbit: RM2,000 setiap tiga tahun

Pembelian komputer: sehingga RM6,000

Subsidi pakaian formal: RM1,000 setiap tiga tahun

Elaun hotel semasa tugas rasmi: RM400 semalam

Elaun makan ketika di luar negara: RM340 sehari

Kemudahan lain

Trip rasmi: Penerbangan kelas bisnes/ kereta api kelas pertama

Wad kelas pertama di hospital kerajaan

Sumber: Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980

Klik di sini untuk terus membaca