NAIROBI - Francis Ndege tidak pasti jika pelanggannya dari kawasan setinggan terbesar di Afrika kini mampu untuk membeli beras daripadanya.
Hal ini kerana harga beras tempatan dilaporkan terus melambung tinggi di Kenya susulan kenaikan harga baja untuk menyuburkan tanaman disebabkan kemarau berpanjangan yang melanda Tanduk Afrika sedikit sebanyak telah menjejaskan hasil padi.
Pemerintah cuba menggunakan beras import dari India untuk mengisi perut ratusan ribu penduduk di kawasan setinggan Kibera yang meraih pendapatan hanya kurang AS$2 (RM9) sehari.
Sejak Jun lalu, harga untuk 25 kilogram (kg) beras telah meningkat kira-kira satu perlima daripada AS$14 (RM66) kepada AS$18 (RM85).
Pemborong dikatakan masih belum menerima bekalan baharu dari New Delhi setelah pengeksport terbesar di dunia itu pada bulan lalu mengumumkan ia mungkin akan melaksanakan sekatan separa.
Langkah itu bertujuan untuk mengawal harga domestik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, namun ia telah memberi impak besar kepada kira-kira satu per lima eksport atau bersamaan 9.5 juta tan metrik beras yang diperlukan penduduk di seluruh dunia.
"Saya amat berharap beras import akan tiba di Nairobi tidak lama lagi," ujar Ndege, 51, yang menjual bekalan makanan ruji itu selama 30 tahun.
Rayuan sama turut disuarakan penduduk negara lain yang bergantung kepada beras sebagai makanan ruji.
Keselamatan makanan global semakin terancam sejak Rusia menarik diri daripada perjanjian bijirin bersama Ukraine pada Julai lalu yang menjadi antara punca harga beras terus melonjak.
Sebagai contoh, harga eksport beras Vietnam mencapai paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun dan meletakkan penduduk di beberapa negara miskin terdedah kepada risiko kelaparan.
"Dunia sedang menghadapi 'titik perubahan' yang luar biasa," kata pegawai sumber asli di Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) berpusat di Bangkok.
Sebelum India melaksanakan sekatan, beberapa negara dikatakan sudah berlumba-lumba mendapatkan bekalan beras sebagai persediaan menghadapi El Nino yang dikhuatiri berpotensi mencetuskan lonjakan harga.
Keadaan semakin buruk berikutan larangan New Delhi telah mencetuskan kesan domino yang menyaksikan negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengikut jejak langkah mereka sebagai langkah mengekalkan stok domestik.
Negara Asia paling terkesan
Negara Asia di mana 90 peratus beras dunia ditanam dan menjadi sumber makanan ruji penduduk di rantau itu juga sedang bergelut dengan pengeluaran.
Filipina cuba mengatasi impak El Nino yang menjejaskan tanaman padi malah Taufan Doksuri yang membadai bahagian utara telah menyebabkan kerugian berjumlah AS$32 juta (RM151 juta) iaitu dianggarkan kira-kira 22 peratus daripada pengeluaran tahunannya.
Negara Asia Tenggara itu adalah pengimport beras kedua terbesar selepas China.
Pakar Polisi Makanan India, Devinder Sharma berpendapat sekatan separa diperlukan untuk menghentikan harga makanan terus meningkat di tengah-tengah fenomena cuaca tidak menentu.
Tetapi, bagi Ashok Gulati di Majlis untuk Penyelidikan Hubungan Ekonomi Antarabangsa India, sekatan berulang dilaksanakan New Delhi akan menggugat kepercayaan negara pengimport.
"Ia ternyata memberi tanggapan buruk untuk urus niaga eksport kerana ia mengambil masa selama bertahun-tahun untuk mengembangkan pasaran," jelasnya.
Vietnam yang menjadi sebuah lagi negara pengeksport utama beras berharap dapat memanfaatkan situasi itu termasuk mengekalkan harga domestik di samping meningkatkan eksport.
Kementerian Pertanian di Hanoi memaklumkan mereka sedang cuba memperluaskan kawasan penanaman padi kepada kira-kira 500 kilometer persegi di Delta Mekong yang bersamaan saiz lebih 90,000 padang bola sepak.
Filipina juga dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan Vietnam untuk mendapatkan bekalan beras pada harga lebih rendah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeksport Beras Thailand, Charoen Laothamatas memberitahu mereka mengambil langkah berhati-hati setelah eksport beras untuk waktu enam bulan pertama 2023 adalah 15 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2022.
"Harga sedang turun dan naik. Kami tidak tahu bagaimana mahu menetapkan harga sebenar. Tiada siapa mahu ambil risiko," katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca