SAINS pernah membuktikan sesuatu yang dulunya dianggap sihir, sebagai satu benda nyata. Namun secara akademik, sihir masih dianggap perkara ghaib yang sukar dibuktikan.
Walhal Nabi Muhammad SAW pernah disihir seorang Yahudi bernama Labid bin Aksam daripada Bani Zuraiq. Ketika itu, Rasulullah SAW baru pulang dari Hudaibiah selesai perang Khaibar pada bulan Zulhijjah Tahun 7 Hijrah.
Penulis mengutarakan kisah sihir kerana ada permintaan daripada sahabat yang terkena santau. Sahabat ini meminta penulis yang masih di Makkah berdoa di depan Kaabah agar ALLAH meringankan penyakitnya akibat disihir.
Di Arab Saudi, jenayah sihir dianggap kesalahan serius. Artikel 117 Kanun Jenayah Arab Saudi menyatakan sesiapa yang melakukan sihir atau mendakwa tahu tentang sihir atau mengguna sihir untuk mencedera orang lain, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih SR500,000 (RM624,360.00) atau kedua-duanya sekali.
Tahun lalu, pasukan penyelidikan Universiti Nasional Australia (ANU) mendapati berlaku peningkatan terhadap penggunaan ilmu sihir di seluruh dunia. Pada 2021, seorang wanita di Papua New Guinea (PNG) dituduh melakukan sihir. Akibatnya dia dibakar sehingga mati. Tahun lalu, seorang lelaki di Cameroon dipukul sehingga mati kerana didakwa melakukan sihir.
Malangnya sehingga kini tiada bukti saintifik yang menyokong kewujudan sihir atau kuasa ghaib. Sihir sering dianggap karut. Baru-baru ini, wartawan Al-Jazeera News, Step Vaessen melaporkan berlaku peningkatan ilmu hitam di Indonesia. Beratus tahun, ilmu hitam menjadi perniagaan besar di Indonesia. Ramai gemar meminta pertolongan bomoh demi menggapai impian termasuk kejayaan dalam politik.
Namun, Vaessen tidak menyatakan statistik rasmi tentang sihir atau ilmu hitam di Indonesia. Tahun lalu, rumah seorang wanita di Jawa Barat dibakar kerana didakwa melakukan sihir. Baru-baru ini, seorang lelaki di Jawa Timur mati dipukul kerana dituduh melakukan sihir.
Sekalipun ada yang mendakwa ilmu sihir masih menjadi masalah serius di Indonesia, namun tiada data menyokong dakwaan tersebut. Pada 26 Julai 2023, Arlina Arshad dan Linda Yulisman melapor tentang ‘True Crimes of Asia Podcast: Indonesia' yang berkaitan sihir.
Nicholas Herriman pula menerbitkan "Sorcery, Law dan State: Governing the Black Arts in Indonesia” dalam Australian Journal of Asian Law, 2013. Herriman melaporkan ada negara telah mengharamkan sihir khususnya di Afrika. Draf Kanun Jenayah Indonesia 2008 turut menyatakan ilmu hitam salah di sisi undang-undang.
Sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan sihir sukar untuk dibuktikan kerana mahkamah hanya bersandarkan bukti sahih. Kelemahan ketara ialah jarang ada saksi bersedia memberi keterangan kepada polis kerana takut terkena sihir.
Contoh terbaik ialah pendedahan wartawan The Guardian, Helen Davidson pada Januari 2018 yang mendakwa sihir berleluasa di PNG. Bagaimanapun, pendedahan Davidson sama sekali tidak menggusarkan tukang sihir di PNG.
Malah sehingga kini, mungkin ramai antara kita tidak tahu apa itu sihir atau sihir hitam? Sihir hitam menggunakan kuasa ghaib untuk tujuan jahat. Sihir hitam sering dikaitkan dengan syaitan atau roh jahat. Santau, sihir, nekromasi dan ramalan dianggap sebahagian komponen sihir hitam.
Ilmu hitam satu dosa besar dalam Islam. Menerusi Surah Al-Baqarah ayat 2:102. ALLAH melaknat pengamal ilmu hitam.
Terkini, ilmu sihir dikatakan menggunakan unsur teknologi moden. Ada laman web dan kumpulan media sosial menawarkan perkhidmatan ilmu sihir dan cara mengamalkannya. Ada alat atau peranti yang didakwa boleh melempar jampi dan memanggil roh. Ada juga perisian direka untuk tukang sihir.
Penulis percaya ilmu sihir boleh memanfaatkan teknologi moden dan era digital untuk berkembang. Namun, pada masa yang sama, penulis juga berharap akan ada teknologi moden yang boleh membanteras sihir khususnya santau.
Sehingga kini, sains masih bingung bagaimana santau boleh dihantar menerusi jampi serapah dan udara. Hukum tenaga menyatakan tenaga tidak boleh dihapuskan, tetapi boleh berubah bentuk melalui medium udara seperti cahaya atau gelombang bunyi.
Kesimpulannya, penulis percaya teknologi moden boleh dimanfaatkan oleh tukang sihir dan ilmu hitam. Cuma, kita belum bertemu formula sains terbaik untuk mengekang ilmu hitam atau sihir.
*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca