MAULIDUL Rasul disambut saban tahun di seluruh negara. Ini menunjukkan kepentingan figura hebat dan berjasa: Rasul junjungan Sayyidina Muhammad bin Abdullah, susuk yang dirindui oleh seluruh umat Islam yang memahami perjuangannya dan... Klik di sini untuk terus membaca

MAULIDUL Rasul disambut saban tahun di seluruh negara. Ini menunjukkan kepentingan figura hebat dan berjasa: Rasul junjungan Sayyidina Muhammad bin Abdullah, susuk yang dirindui oleh seluruh umat Islam yang memahami perjuangannya dan menghayati Islam yang diwahyukan kepada Baginda Rasulullah SAW.

Ia selari dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah SAW uswah hasanah (contoh yang terbaik) bagi orang yang mengharapkan ALLAH SWT, hari akhirat dan sering menyebut nama ALLAH (al-Ahzab: ayat 21).

Baginda SAW merupakan idola dan model bagi umat Islam yang mengimani kewujudan ALLAH SWT dan hari akhirat serta banyak berzikir.

Rasulullah SAW menjadi idola dalam segenap aspek kehidupan bermula dari sahsiah diri, pembentukan keluarga, masyarakat, kepimpinan, kenegaraan, perjuangan, dakwah, komunikasi, pemakanan, pemakaian, dan ibadah. Baginda merupakan model khalifah di muka bumi dan hamba ALLAH SWT.

Kehidupan yang dijalani oleh Baginda penuh ranjau dan duri, dihina dan dikeji walaupun dari keturunan mulia dan terpuji, malah berasal daripada bangsa Quraisy yang terhormat.

Namun wahyu dan kepercayaan yang didukung telah menongkah arus zaman dan membina jurang perbezaan dengan anutan datuk nenek serta masyarakat setempat, maka kehidupannya mula menjadi sukar, penuh dengan kecaman dan hinaan serta ugutan bunuh di kemuncak dakwah sekitar Makkah.

Kehebatan akhlak dan adab Baginda SAW adalah al-Quran sebagaimana hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad daripada Aisyah RA yang bermaksud: akhlaknya al-Quran.(No hadis 25813).

Ia suatu deskripsi ringkas tapi padat dan tepat. Jawapan isteri kesayangan Baginda SAW membuktikan bahawa Rasulullah menterjemahkan wahyu melalui perkataan, perbuatan, sahsiah dan taqrirnya.

Pendek kata, umat Islam perlu mengkaji al-Quran dan al-hadis untuk mengenali dan menghayati sahsiah diri Baginda SAW dan mempraktikkan dalam kehidupan sehari-hari walau di mana mereka berada.

Nabi Muhammad SAW seorang yang pengasih dan penyayang, pejuang dan pemaaf, tegas dan lembut, adil dan sabar, cerdik dan hikmah, pendakwah tegar dan pendidik keluarga, para sahabat dan ummah serta musuh.

Toleransi dalam ketegasan mengundang rasa hormat dan gerun musuh kepada Islam. Perpindahan pusat dakwah dari Makkah ke Madinah telah memancarkan sinar ketamadunan dan kemajuan ummah Islam dari kegelapan akidah kepada cahaya iman.

Cahaya keimanan yang terang benderang telah membuka pintu kolaborasi dengan ramai pihak.

Sebagai contoh, ilmu-ilmu aqli telah disesuaikan dengan ilmu-ilmu naqli di mana Baginda SAW meraikan kepelbagaian budaya,kreativiti dan inovasi yang tidak menyalahi akidah dan syariah seperti kaedah penanaman kurma yang menghasilkan buah yang lebih berkualiti.

Selain daripada itu, cadangan Salman Al-Farisi menggunakan kaedah tentera Parsi iaitu penggalian parit sebagai satu strategi perang dalam peperangan khandak (parit).

Dasar diplomasi Rasulullah SAW juga telah membolehkan umat Islam menunaikan haji dan umrah dengan aman di Makkah yang pada peringkat awal penurunan wahyu telah menjadi pusat penyeksaan dan ancaman bagi umat Islam.

Variasi budaya dan agama berjaya diharmonikan dengan Piagam Madinah bagi menjamin keharmonian, kestabilan dan keamanan dalam kalangan masyarakat majmuk selagi tidak dilanggar oleh mana-mana pihak.

Perjanjian demi perjanjian dimeterai bagi mencapai kata sepakat dan perdamaian. Keperluan pada ketika itu lebih kepada keamanan dari sudut keselamatan harta dan nyawa serta sumber kehidupan.

Kaedah perjanjian dan persefahaman secara bertulis antara kedua-dua pihak telah diwarisi hingga generasi pada hari ini.

Kesimpulannya, masyarakat Islam perlu menyedari kepentingan sirah nabi dan menghayati akhlak Nabi SAW serta meneladani Baginda SAW dalam bertingkah laku.

*Dr Aizan Ali@Mat Zin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di aizan@um.edu.my

Klik di sini untuk terus membaca