SHAH ALAM - Parti MCA perlu move on dan membina semula kekuatan diri jika mahu kekal relevan selepas mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila hanya menang dua daripada 70 kerusi Parlimen ditandingi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Langkah itu penting kerana zaman kegemilangan dan kecemerlangan mereka pada tiga PRU bermula tahun 1995 hingga 2004 sudah berakhir.
Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, misi dan cabaran kepimpinan MCA diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sekarang adalah untuk mencari kaedah terbaik kekal relevan biarpun mereka tidak dapat dipisahkan daripada penciptaan semula (reinvention) UMNO dan BN.
"Ada yang bercadang untuk MCA tinggalkan UMNO dan menyertai Perikatan Nasional (PN) tetapi itu hanya akan lebih melemahkan MCA.
"Kalau pengundi Cina ingin sokong PN, sudah pasti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah menang banyak kerusi pada PRU15 dan PRN enam negeri lalu. Kalau masuk PN, MCA akan alami nasib sama seperti Gerakan,” katanya.
Chin Huat berkata, MCA hanya boleh bangkit semula jika BN dan Pakatan Harapan (PH) dapat kembali bersaing merebut kerusi Parlimen dan DUN secara adil bagi menentang PN di kawasan kedua-dua parti mempunyai kekuatan seimbang pada PRU akan datang.
Sementara itu, Pengarah Akademik Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan), Profesor Madya Dr Chang Yun Fah pula berpandangan MCA tidak boleh berterusan menjadi Yes Man kepada Kerajaan Perpaduan, perlu kekal bersama UMNO-BN serta menolak sebarang usaha kerjasama dengan PN untuk kembali relevan dalam politik tanah air.
"MCA juga perlu berani bertanding di semua kawasan majoriti Cina tidak kira menang atau kalah,” katanya ketika ditanya sama ada kepimpinan MCA baharu yang terus kekal diterajui Ka Siong mampu membawa parti berkenaan dari zaman gelap pada masa depan.
Jelasnya, selagi MCA bersama DAP, mereka sukar mendapat ‘kerusi pilihan raya selamat’ untuk bertanding, kecuali UMNO sanggup serah kerusi pilihan raya majoriti Melayu yang selamat kepada mereka.
Klik di sini untuk terus membaca