SHAH ALAM - Situasi penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dilihat dapat meningkatkan nilai eksport kepada pengeluar tempatan di negara ini. Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Situasi penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dilihat dapat meningkatkan nilai eksport kepada pengeluar tempatan di negara ini.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, ia berikutan pengeluar tempatan boleh meraih manfaat keuntungan lebih besar sekiranya menjual barangan dengan harga dolar AS.

"Itu sebenarnya merupakan strategi di setengah negara iaitu sengaja menurunkan nilai harga mereka kerana mahu menolong peniaga-peniaga tempatan.

"Saya ada buat kajian hubungan antara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kadar pertukaran ringgit, ia menunjukkan bahawa penyusutan nilai ringgit sebenarnya meningkatkan KDNK dari segi nilai mutlak.

"Apabila nilai ringgit pula meningkat tinggi, ia akan menyebabkan KDNK merosot. Jadi itu satu fenomena menarik yang perlu kita kaji,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, ringgit menyusut nilai berbanding dolar apabila sentimen menggalakkan terus menyokong mata wang AS.

Mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding dolar AS pada jam 9.15 pagi Rabu daripada penutupan Selasa iaitu dengan kadar 4.6875/6915.

Dalam pada itu, ujar Barjoyai, keadaan tersebut juga boleh memberi implikasi buruk kerana negara seperti Malaysia mengimport lebih RM77.2 bilion pada tahun ini dalam sektor makanan.

Menurutnya, Malaysia turut mengimport banyak bahan mentah bagi pengeluaran industri seperti semi-konduktor dan solar.

"Jadi bila kita mengimport, kita terpaksa bayar pada harga yang lebih tinggi dalam ringgit Malaysia.

"Ini menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan kalau kita menjual dalam negara, perniagaan akan menghadapi masalah kerana margin keuntungan itu menjadi rendah,” ujarnya.

Sementara itu, ulas beliau, penyusutan nilai ringgit berpunca daripada faktor luar termasuk peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) AS yang tinggi dan pertambahan permintaan terhadap mata wang dolar negara tersebut.

"Pada masa sama kita tengok juga banyak pelabur asing jangka pendek yang melabur dalam pasaran saham dan ekuiti telah menjual sahamnya serta balik ke AS kerana mereka boleh melabur dalam instrumen kewangan yang berpendapatan di AS tanpa risiko.

"Sebenarnya Bank Negara Amerika (Federal Reserve) akan meningkatkan lagi OPR di AS, jadi berita seperti itu menyebabkan nilai ringgit semakin lemah," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, situasi kemerosotan ringgit itu adalah fenomena jangka pendek dan akan berlaku perubahan menjelang hujung tahun ini.

"Kadar pertukaran ringgit Malaysia dan dolar AS akan meningkat kerana mata wang AS semakin lemah berikutan beberapa negara seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) mengeluarkan mata wang global baharu,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca