SHAH ALAM - Pengguna aplikasi QR DuitNow bimbang sekiranya peniaga meningkatkan harga jualan susulan pelaksanaan caj transaksi bermula 1 November ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati caj dikenakan pengendali DuitNow, PayNet dikhuatiri akan dialihkan kepada pengguna menerusi peningkatan harga barangan atau perkhidmatan.
Pekerja swasta, Mohd Faiz Rafezin, 25, berkata, perkhidmatan tersebut sepatutnya memudahkan urusan antara pembeli dan peniaga kerana lebih selamat serta tidak perlu membawa wang tunai yang banyak.
"Namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk peniaga menaikkan harga. Lebih mudah jika bayar makanan guna kod QR.
"Tetapi apabila diumumkan mereka (peniaga kecil) akan dikenakan caj transaksi, ia satu beban buat mereka dan kami (pelanggan) juga.
"Ini mungkin jadi alasan buat penjual makanan untuk caj harga lebih daripada yang sepatutnya. Walaupun hanya tambahan 50 sen atau RM1, pelanggan akan fikir banyak kali untuk beli,” katanya kepada Sinar Harian.
Penyelia restoran, Tuti Aryati Karna Hidayat, 24, bagaimanapun memaklumkan, dia tetap memilih untuk membayar secara dalam talian kerana lebih cepat dan mudah.
Tambah Tuti, jika benar peniaga akan menaikkan harga disebabkan caj transaksi DuitNow, pelanggan masih boleh berkunjung ke kedai lain bagi mendapatkan harga yang lebih murah.
"Saya memang risau kalau peniaga naikkan harga makanan, saya faham mereka tiada pilihan lain tapi semoga tidak terlalu mahal,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja swasta, Maisyarah Ali, 23, berkata jika peniaga ingin menaikkan harga jualan, dia mungkin tidak akan membelinya kerana mengambil pendekatan mahu berjimat.
"Kalau makanan atau barangan naik harga, setakat RM1 hingga RM2 mungkin memadai, tetapi jika lebih daripada itu, saya tidak akan keluarkan duit dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang,” ulasnya.
Bagi pekerja restoran, Nur Azirah Asri, 24, peniaga kecil yang mengenakan caj mahal tidak memberikan kesan buat dirinya kerana merasakan kualiti sesuatu barangan atau perkhidmatan lebih penting berbanding harga.
"Saya tak kisah dengan harga. Katakanlah dah terbiasa makan di satu restoran, takkanlah hanya kerana mereka naikkan sedikit harga, saya tak nak beli di situ?
"Mereka juga tersepit dengan keadaan. Kita sebagai penyumbang kepada jualan perlu beri sokongan,” jelasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca