SHAH ALAM - ‘Gelombang hijau’ yang dikatakan mula membina pengaruh kuat di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hanya bersifat sementara bukan selamanya. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - ‘Gelombang hijau’ yang dikatakan mula membina pengaruh kuat di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hanya bersifat sementara bukan selamanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ketika ini penduduk rancangan Felda teruja dengan naratif yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) sama seperti UMNO iaitu memperjuangkan Melayu dan Islam.

"Saya merasakan PN berhadapan situasi sama seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila orang Felda mula menyedari perjuangan yang dibawa oleh parti itu hanyalah sekadar kata-kata.

"Pada tahun 2018, Bersatu yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu aktif masuk ke tanah rancangan untuk memperluaskan pengaruh dan saya akui ketika itu, boleh dikatakan penduduk Felda memihak kepada parti berkenaan.

"Bagaimanapun, sokongan terhadap Bersatu tidak kekal lama kerana tidak menunaikan janji ‘bulan dan bintang’ sehingga orang Felda kembali memihak kepada UMNO. Perkara ini sebenarnya yang sedang berlaku semula kepada penduduk tanah rancangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Abdul Rahman, penduduk tanah rancangan berkenaan akan melihat semula parti yang boleh memahami falsafah Felda dan bukan sekadar mengangkat Melayu dan Islam sahaja.

"Sekarang ini, PN membawa satu naratif yang mana UMNO seolah-olah tidak lagi memperjuangkan Melayu dan Islam semata-mata untuk meraih undi daripada orang Melayu.

"Bukan itu sahaja, mereka (ahli politik PN) menidakkan sumbangan dalam menaikkan orang Melayu dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

"Ini tidak betul sama sekali kerana sampai bila-bila perjuangan parti ini (UMNO) akan mengutamakan Melayu dan Islam,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan kebajikan Felda dan parti itu sentiasa membangkitkan isu yang dihadapi oleh rancangan berkenaan dalam mesyuarat bulanan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Kesungguhan parti dalam menjaga kebajikan Felda dapat dilihat melalui kewujudan pengurusan tertinggi Felda yang sentiasa berbincang dan mencari solusi terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk rancangan,” ujarnya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, Felda tidak lagi dianggap kubu kuat UMNO ketika ini memandangkan PN mula bertapak dan membina pengaruh kuat di tanah rancangan berkenaan.

Beliau berkata, hal itu disebabkan peralihan sokongan pengundi di segmen itu dipengaruhi dua faktor utama iaitu naratif Melayu dan Islam yang diangkat gabungan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca