SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rata-rata peniaga kecil tidak bersetuju dengan caj transaksi aplikasi QR DuitNow yang akan dilaksanakan bermula 1 November ini.
Tinjauan Sinar Harian di sini mendapati peniaga rasa mereka bakal terbeban memandangkan keuntungan daripada perniagaan tidak besar.
Peniaga gerai masakan panas, Sabariah Abdul Majid, 48, berharap ada penyelesaian kepada isu tersebut kerana tidak mahu menyusahkan pengguna.
"Memang saya tak setuju. Zaman sekarang hampir semua jual beli tidak guna wang tunai tetapi secara dalam talian atau imbas kod QR.
"Cara itu memudahkan urusan tetapi sekarang jadi susah pula jika peniaga menolak untuk menggunakan DuitNow sebab dikenakan caj. Takkanlah hanya kerana ini kami terpaksa naikkan harga jualan?
"Kalau dikenakan caj, saya hanya akan guna kaedah bayar secara tunai walaupun mungkin kehilangan pelanggan,” katanya.
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow pada Khamis mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut bermula 1 November depan.
Selasa lalu, sebuah portal memetik RHB Reflex sebagai berkata, penstrukturan itu meliputi semua bank yang mengambil bahagian.
Katanya, caj yang akan dikenakan ke atas penjual yang menggunakan DuitNow adalah bergantung kepada mod pemindahan wang.
"Sebanyak 0.25 peratus akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50 peratus dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit,” kata RHB Reflex.
Sementara itu, pekerja gerai pencuci mulut, Syafiqah Zahirah Kamarul Zaman, 19, berkata, caj aplikasi tersebut bakal memberi kesan kepada perniagaannya."Perkara ini membebankan banyak pihak lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup dan kenaikan harga barang semakin membimbangkan.
"Kita juga tak boleh paksa orang ramai bawa wang tunai setiap masa sebab ada baik dan buruknya,” ujarnya.
Penjual kuih, Amirul Fitri Norazmi, 28, pula memberitahu pelaksanaan caj tersebut mungkin menjejaskan margin keuntungan peniaga kecil dalam jangka masa panjang kerana wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membeli bahan-bahan asas kuih-muih.
Dalam pada itu, peniaga gerai minuman, Abdul Rahman Che Hamid, 29, tidak menolak akan beralih semula kepada wang tunai.
"Kalau berkuat kuasa, kita (peniaga kecil) setuju untuk kembali kepada wang tunai walaupun berisiko hilang pelanggan. Lama-kelamaan mereka akan faham dan terus membeli apa yang mereka suka,” ulasnya.
Penjual minuman berasaskan kopi, Mohd Faez Kamaluddin, 30, pula menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pilihan sama ada mahu bayar tunai atau terus menggunakan DuitNow.
Jelasnya, transaksi secara dalam talian berkenaan lebih selamat dan peniaga tidak perlu khuatir menyimpan wang tunai sepanjang masa.
Perkhidmatan DuitNow membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.
Antara entiti bukan bank popular yang menggunakan DuitNow termasuklah Boost, GrabPay, Setel dan Touch ‘n Go.
Klik di sini untuk terus membaca