SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah tindakan pengendali QR DuitNow mengenakan bayaran caj kepada peniaga yang menggunakan aplikasi tersebut.
Sehubungan itu, Bendahari Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin menggesa syarikat pengendali aplikasi tersebut untuk meneliti semula pelaksanaannya agar tidak membebankan mana-mana pihak.
Menurutnya, pelaksanaan caj berkenaan memberi gambaran bahawa peniaga akan memindahkan beban kepada pengguna dengan menaikkan harga makanan, barangan dan perkhidmatan.
"Tindakan mengenakan caj kepada pengguna aplikasi tersebut sememangnya akan membebankan pembeli dan peniaga.
"Kenapa perlu laksanakan caj ini sewaktu ekonomi negara tidak menentu? Sudah tentu keadaan ini akan memberi tekanan kepada peniaga sehingga mereka terpaksa memindahkan beban itu kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.
PayNet dalam satu kenyataan memberitahu, sewaktu aplikasi DuitNow diperkenalkan pada tahun 2019, pengendali telah mengecualikan caj kadar diskaun pedagang (MDR) yang sepatutnya dikenakan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut menggesa agar syarikat berkenaan menarik semula keputusan untuk mengenakan caj tersebut kerana ia akan mewujudkan implikasi berantai.
Nadzim berkata, pengendali tidak sepatutnya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu mengambil pendekatan memudahkan urusan jual beli rakyat yang semakin selesa menggunakan kaedah tanpa tunai.
"PPIM menegaskan bahawa kami tidak setuju sama sekali terhadap apa-apa cadangan yang membebankan peniaga dan akhirnya memberi kesan kepada masyarakat.
"Namun, saya tidak menafikan aplikasi DuitNow memberi impak positif kepada kehidupan rakyat kerana tanpa wang tunai mereka masih boleh untuk berbelanja, namun pengendali jangan mengambil kesempatan apabila melihat kebanyakan rakyat Malaysia kini menggunakan aplikasi tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca