TANPA rasa perikemanusiaan, P Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali boleh dianggap sebagai penjenayah yang baran, kejam dan sanggup membunuh atas sebab yang remeh.
Demikian pengalaman yang dikongsikan bekas Komander Unit Tindak Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.
Menurut beliau, Bentong Kali tidak memerlukan alasan yang kukuh untuk membunuh seseorang.
"Dia pernah menembak mati seorang peniaga warung kopi yang menegurnya kerana membuang air kecil berhampiran dengan kedai peniaga itu.
"Kesalahan yang kecil sudah mencukupi untuk menamatkan riwayat orang yang tidak disukai dan sudah menjadi tabiatnya menembak mangsa dari jarak dekat,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Meor Chek Hussien, 77, berkata, Bentong Kali merupakan penjenayah paling dikehendaki pada tahun 1990-an kerana terlibat dalam banyak kes pembunuhan serta jenayah lain.
"Kalimuthu berasal dari Bentong, Pahang. Dia mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 13 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan.
"Dia kemudian menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 04 sebelum ditahan dan dipenjara ketika berusia 19 tahun dan dibebaskan dua tahun kemudian,” katanya.
Jelas beliau, Bentong Kali juga pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat dan ditempatkan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang pada 1985 selain pernah dikenakan sekatan kediaman terhad.
Beliau memberitahu, Bentong Kali menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan aktif melakukan jenayah di sekitar ibu kota.
"Dia kemudian menubuhkan Geng 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, siasatan polis mendapati Bentong Kali dipercayai menjalankan operasi jenayah bersama 17 orang rakannya.
"Bentong Kali menjadi buruan polis kerana terbabit dalam pelbagai kes pembunuhan, cubaan membunuh, rompakan, samun, peras ugut, dadah dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama UTK telah merancang untuk menumpaskan penjenayah itu dalam Op Buncit.
Katanya, kesungguhan polis untuk menjejaki Bentong Kali dilaksanakan berterusan, salah satu usaha adalah dengan mengedarkan poster penjenayah itu sebelum berjaya menjejakinya di sebuah rumah teres dua tingkat di Damansara, Petaling Jaya.
"Sepasukan anggota UTK telah membuat serbuan ke rumah itu pada awal pagi, 29 Jun 1993,” ujarnya.
Kata Meor Chek Hussien, dalam kejadian berbalas tembakan itu, seorang pengikut Bentong Kali dikenali sebagai Billiard telah ditembak mati.
UTK TERLIBAT DALAM PELBAGAI OPERASI
"Bentong Kali pula ditembak mati oleh salah seorang penembak tepat (sniper) ketika penjenayah itu mahu melompat ke balkoni rumah tersebut.
"Kematian penjenayah itu mengakhiri episod keganasan Bentong Kali yang dipercayai terbabit dalam kira-kira 17 kes pembunuhan,” katanya.
Kejayaan menumpaskan Bentong Kali, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Meor Chek Hussien sepanjang berkhidmat selama 31 tahun dalam PDRM.
Mengimbau kembali detik awal Meor Chek Hussien terlibat dalam pasukan Sang Saka Biru, beliau berkata, apabila melihat program jelajah PDRM dan mendengar lagu Polis Sedia Berkhidmat, secara tidak langsung ia menyuntik semangatnya untuk berjasa kepada tanah air.
"Selain itu, tindakan askar komunis yang bertindak kejam terhadap penduduk kampung menyebabkan saya berazam mahu berkhidmat dalam pasukan PDRM,” katanya.
Meor Chek Hussien yang berasal dari Chenderiang, Tapah, Perak, berkata, kawasan kampungnya pernah menjadi sarang komunis.
"Saya pernah melihat lebih 100 askar komunis bermesyuarat pada waktu malam di kawasan padang di kampung.
"Penduduk hidup dalam ketakutan serta tidak mampu buat apa-apa setelah melihat kehadiran askar komunis itu,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, beliau menghadiri temu duga PDRM pada tahun 1964 dan berjaya mendapat tawaran berkhidmat.
"Bagaimanapun, saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana ibu melarang disebabkan berlaku konfrontasi Indonesia-Malaysia ketika itu.
"Pada 1969, saya memohon jawatan sebagai anggota polis sekali lagi dan dipanggil untuk menjalani latihan di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 1970,” ceritanya.
Meor Chek Hussien berkata, setelah tamat latihan selama enam bulan, beliau berkhidmat di Cawangan Khas Bukit Aman sehingga 1975.
"Pada 1975, Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohammed Hanif Omar telah mencadangkan supaya ditubuhkan satu unit khas (UTK) bagi menangani isu keganasan antarabangsa di Timur Tengah.
"Selain itu, kita turut menerima surat berkaitan ancaman bom daripada pengganas,” katanya.
Menurut beliau, seramai sembilan pegawai dan 46 anggota telah dipilih untuk menyertai UTK.
"Kita menjalani latihan selama 12 minggu di Ulu Kinta, Perak, yang dikendalikan oleh anggota daripada pasukan Special Air Services (SAS) Regiment British,” katanya.
SAS adalah sebuah pasukan elit utama di bawah seliaan Tentera Darat British dan merupakan sebuah institusi keselamatan rahsia dan kecil.
SAS juga melatih pasukan-pasukan elit dari luar negara yang setaraf dengan pasukan ini.
Meor Chek Hussien berkata, beliau telah berkhidmat dalam UTK selama 24 tahun dan dilantik sebagai komander pasukan itu pada tahun 1992.
"Kebanyakan operasi yang melibatkan pasukan UTK tidak boleh didedahkan kepada umum.
"Pasukan UTK pernah terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi seperti menumpaskan penjenayah Botak Chin, Bentong Kali, Mat Komando serta kumpulan Al-Maunah,” tuturnya.
Beliau berkata, pasukan UTK juga pernah menyelamatkan orang kenamaan (VIP) dan beberapa individu lain yang menjadi mangsa culik.
"Selain itu, kita turut memburu sepasang suami isteri yang terlibat dengan gerakan bawah tanah komunis di Ipoh, Perak.
"Kita berjaya menembak mati lelaki tersebut dan memberkas isterinya. Hasil soal siasat, kita berjaya menemui 17 food dump (makanan atau peluru serta senjata) yang ditanam di dalam hutan,” cerita beliau.
Tambah Meor Chek Hussien, beliau menggalas tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pada 1999.
"Pada masa itu, saya berhadapan cabaran berkaitan jenayah melibatkan pendatang asing tanpa izin, selain isu penagih dadah dan peragut di ibu kota,” jelasnya.
MEOR CHEK HUSSIEN KINI AKTIF BERSAMA RESPA
Meor Chek Hussien berkata, beliau bersara daripada pasukan PDRM pada tahun 2001 sebelum aktif dalam Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa).
"Pada awalnya, saya dijemput dan dilantik oleh Ahli Jawatankuasa Respa sebagai individu untuk mengurus berkaitan hebahan kepada media mengenai aktiviti persatuan,” katanya.
Ujarnya lagi, selepas dua tahun, beliau menggalas jawatan sebagai Presiden Respa.
"Respa bertanggungjawab membantu kebajikan ahli persatuan. Kita tidak mendapat geran daripada kerajaan, namun kita berusaha membuat kutipan dana,” katanya.
Beliau berkata, Respa ada pelbagai portfolio antaranya kebajikan, perniagaan dan koperasi.
"Saya telah memperkenalkan majlis perniagaan di samping berkolaborasi dengan syarikat lain serta menceburi bidang pertanian untuk menjana pendapatan kepada ahli persatuan,” katanya.
Kata Meor Chek Hussien, Respa turut menyumbang idea dan pengalaman kepada pihak berkuasa serta kerajaan untuk menangani isu keselamatan termasuk kes penipuan dalam talian.
"Segelintir masyarakat lupa tentang jasa dan sumbangan pesara polis, mereka hanya ingat Hari Polis, Hari Pahlawan dan Hari Kebangsaan,” katanya.
Meor Chek Hussien berkata, pihaknya berharap supaya masyarakat ingat bahawa keamanan dan kesejahteraan dinikmati sekarang adalah titik peluh pejuang yang terkorban pada masa lalu.
"Kita bukan mahu disanjung atau dihormati, namun kita ingin pesara polis disantuni serta jasa dan pengorbanan mereka sentiasa diingati,” ujarnya.
INFO
UTK PDRM ibarat SWAT di Amerika Syarikat
- UTK adalah satu unit khas yang penting dalam struktur organisasi PDRM. Sejarah penubuhannya bermula apabila pada awal tahun 1970-an bilangan organisasi pengganas antarabangsa semakin bertambah dan kegiatan mereka telah meningkat di seluruh dunia.
- Sebagai sebuah unit khas yang unggul dan digeruni dengan moto ‘Tangkas Banteras Ganas’, UTK ditubuhkan pada 1 Januari 1975 berkonsepkan idea unit SWAT Amerika Syarikat bagi memerangi pengganas di kawasan bandar.
- Pegawai dan anggota yang mempunyai kriteria yang sesuai telah dipilih dalam kalangan warga PDRM untuk mengikuti latihan khas, dikendalikan pasukan Special Air Services (SAS) Regiment British dan pasukan khas seluruh dunia.
- Sejak penubuhannya hingga kini, UTK mempunyai peranan utama dalam menangani sebarang ancaman pengganas antarabangsa melibatkan kepentingan kerajaan Malaysia atau kerajaan asing di negara ini.
- Selain itu, UTK turut memberi bantuan kepada jabatan lain khususnya Jabatan Siasatan Jenayah dalam menangani kes-kes jenayah berat.
- UTK juga bertanggungjawab dalam kawalan keselamatan kepada orang kenamaan atau VVIP dalam negara serta VVIP asing yang mempunyai ancaman keselamatan yang tinggi sewaktu mereka berada di Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca