BERDASARKAN Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, OKU bermaksud 'termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat'.
Berdasarkan data terkini (sehingga 31 Januari 2023) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, golongan OKU yang paling ramai mendaftar adalah dari kategori OKU Masalah Pembelajaran iaitu seramai 235,751 orang.
Golongan OKU Masalah Pembelajaran adalah golongan yang paling berisiko kerana kebanyakan anak-anak daripada kategori ini kelihatan normal dari segi rupa paras mereka.
Ini menyebabkan ramai ibu bapa tidak menyedari berkaitan masalah yang dialami oleh anak-anak mereka dan menganggap sikap anak-anak contohnya tantrum, lambat bercakap, terlalu lasak, terlalu leka dengan gajet dan tidak fokus adalah perkembangan normal bagi kanak-kanak di usia mereka.
Ibu bapa yang mempunyai anak yang berstatus OKU sepatutnya mempunyai kesedaran dan pendedahan awal berkaitan perkara-perkara penting yang mampu membantu anak OKU mereka untuk membesar dan memaksimumkan potensi diri. Perkara penting tersebut termasuklah:
1. Mendapatkan pengesahan daripada pakar kesihatan berkaitan status anak OKU. Umumnya, ibu bapa perlulah memantau perkembangan anak sejak dari lahir dan memastikan perkembangannya adalah selari dengan sasaran kemajuan anak mengikut peringkat umur masing-masing.
Oleh yang demikian, ibu-bapa tidak sepatutnya mengambil mudah pemeriksaan kesihatan berkala yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan melalui buku ‘Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0-6)’.
2. Mencari kumpulan sokongan yang sesuai dengan ketidakupayaan anak. Ibu bapa juga perlu cakna dengan keperluan lain bagi anak-anak OKU contohnya bagi Masalah Pembelajaran kerana mereka terdiri dari pelbagai jenis kategori yang berlainan keperluan. Ini termasuklah penjagaan pemakanan, terapi dan nurseri yang bersesuaian. Informasi ini dapat ditingkatkan dengan menyertai kumpulan sokongan mengikut kategori ketidakupayaan anak-anak.
3. Mengenal pasti peluang pendidikan berdasarkan potensi anak. Setelah memperoleh kad OKU, perancangan pendidikan anak-anak OKU juga boleh dibuat dengan lebih awal dengan mengenal pasti lokasi sekolah-sekolah kerajaan dan swasta yang sesuai dan berdekatan dengan tempat kerja/tinggal.
Sebagai contoh, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan sesetengah sekolah dengan kelas khas bagi kanak-kanak OKU untuk bersekolah bersama-sama dengan kanak-kanak normal yang dikenali sebagai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Kanak-kanak OKU ini juga menjalankan proses saringan dan sekiranya layak dan sesuai, mereka juga diberikan peluang untuk menyertai rakan-rakan kelas perdana bagi kesemua subjek atau subjek tertentu sahaja.
4. Mengenal pasti peluang dan inisiatif latihan pekerjaan bagi kelangsungan hidup anak OKU. Seterusnya, peranan ibu bapa juga amat penting untuk menyedari dan memahami peluang dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan untuk kelangsungan hidup anak OKU kelak. Perkara ini termasuklah inisiatif yang disediakan oleh kerajaan dalam menyediakan latihan-latihan yang bersesuaian untuk mereka terlibat dalam bidang pekerjaan.
Contohnya, Kementerian Sumber Manusia melalui HRD Corporation juga menyediakan pelbagai latihan yang dikenali sebagai OKU Talent Enhancement Program (OTEP) untuk menyediakan warga OKU terlibat dalam bidang pekerjaan.
OTEP bertujuan untuk membantu OKU di Malaysia dengan kemahiran yang betul bagi mendapatkan penempatan pekerjaan. Program ini juga bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada penduduk terpinggir, meningkatkan keterangkuman masyarakat kita, serta memberi kesedaran dan kesediaan kepada masyarakat tentang penerimaan OKU di tempat kerja.
Selain itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif dan peluang yang disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak OKU termasuklah inisiatif pasport secara percuma, inisiatif cukai, inisiatif pencen terbitan dan sebagainya. Di samping itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memberi sokongan, perangsang dan pendedahan yang wajar kepada anak OKU agar mereka merasa tidak dipinggirkan dan diterima dalam masyarakat.
Konklusinya, kesedaran awal oleh ibu bapa adalah penting dalam membuat intervensi awal dan merancang sekali gus melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang sesuai bagi membantu meningkatkan potensi optimum anak OKU mereka.
* Dr Hanira Hanafi ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca