SHAH ALAM - Tindakan pengendali kod QR DuitNow mengenakan caj kepada pengguna aplikasi tersebut bakal menyebabkan peniaga kembali kepada kaedah bayaran secara tunai.
Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, para peniaga akan mengambil langkah ke belakang itu disebabkan mahu mengelak pembayaran caj yang dianggap membebankan.
"Sekiranya pengendali tetap dengan pendirian untuk meneruskan cadangan tersebut, saya yakin peniaga-peniaga kecil khususnya akan kembali menggunakan kaedah pembayaran secara tunai.
"Walaupun jumlah caj yang dikenakan itu dilihat kecil tetapi tidak bagi mereka.
"Cuba bayangkan, peniaga kecil dengan jumlah pelanggan sehari seramai 100 orang dan separuh daripadanya menggunakan kaedah bayaran DuitNow, sudah tentu caj yang dikenakan adalah tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.
Rentetan itu, pengguna aplikasi berkenaan menuntut caj tersebut ditangguhkan kerana khuatir kos yang ditanggung peniaga akhirnya dipindahkan kepada pengguna.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, implikasi mengenakan caj transaksi itu akan mendorong kepada tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan.
"Perkara ini kita tak mahu berlaku iaitu penjual menaikkan harga barang semata-mata untuk menampung kos tersebut kerana pada akhirnya, pembeli yang terkesan.
"Solusi untuk menangani masalah ini bukanlah dengan menaikkan harga kerana ia sama sekali tidak patut dilakukan memandangkan ekonomi negara kurang baik,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca