JORDAN adalah sebuah negara yang hanya satu pertiga saiz daripada Malaysia, dari segi populasi dan keluasan tanah. Antara projek terbesar di Jordan yang melibatkan Malaysia ialah loji jana kuasa syal minyak Attarat di Amman. Namun begitu,... Klik di sini untuk terus membaca

JORDAN adalah sebuah negara yang hanya satu pertiga saiz daripada Malaysia, dari segi populasi dan keluasan tanah.

Antara projek terbesar di Jordan yang melibatkan Malaysia ialah loji jana kuasa syal minyak Attarat di Amman.

Namun begitu, selepas bertahun-tahun dalam perancangan, perundingan dan pembinaan, termasuk kelewatan dua tahun, pelbagai masalah tetap membelenggu projek ini.

Loji jana kuasa Attarat yang dibuka secara rasmi bulan Mei lepas menarik perhatian komuniti pakar tenaga apabila kerajaan Jordan memulakan kes timbang tara antarabangsa terhadap syarikat Attarat atas alasan harga elektrik melampau.

Untuk memahami pertikaian ini, pertimbangan perlu diberikan kepada tiga faktor.

Yang pertama, Jordan bergantung kepada dana asing, terutamanya dari Amerika Syarikat untuk membiayai pertumbuhan ekonomi.

Seterusnya, Kumpulan Guangdong Energy dari China merupakan salah satu daripada pemegang saham terbesar syarikat Attarat, selain syarikat YTL Power dari Malaysia.

Akhir sekali, Israel membekalkan gas asli kepada Jordan pada harga yang berdaya saing sejak tahun 2020.

Semasa saya bekerja sebagai pelatih di syarikat YTL Power pada tahun 2011, projek ini telah mula dirundingkan dengan Syarikat Tenaga Elektrik Nasional Jordan (NEPCO) untuk perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 30 tahun.

Pada masa itu, kemelut politik Arab Spring menjadi faktor utama untuk Jordan mengurangkan kebergantungan sumber tenaga asing dan menjana elektrik menggunakan deposit syal minyak yang banyak di padang pasir.

Bagi menjayakan projek ini, sebuah syarikat jana kuasa Estonia, Eesti Energia yang berpengalaman membina dan mengurus loji jana kuasa syal minyak mendapat konsesi tenaga dengan kementerian tenaga dan sumber mineral Jordan.

Tumpuan terhadap projek ini berkurang setelah Jordan berjaya mencapai kata sepakat dengan Israel untuk pembekalan gas asli pada tahun 2014 dan mereka turut mendapati bahawa kos untuk melombong dan memproses syal minyak jauh lebih tinggi berbanding gas asli yang diimport terus.

Pada masa yang sama, China giat mengembangkan inisiatif Belt and Road di rantau Timur Tengah dan projek ini menarik perhatian Guangdong Energy yang merupakan perusahaan milik negara China dan bank-bank China.

Lantaran itu, pembinaan Attarat dibiayai menggunakan pinjaman AS$1.6 bilion (RM8.01 bilion) dari sebuah syarikat kredit China.

Masalah timbul apabila loji jana kuasa mula beroperasi namun pegawai syarikat Attarat mendakwa bahawa kerajaan Jordan tidak memenuhi bayaran bulanan yang ditetapkan dalam PPA.

Di sini munculnya spekulasi bahawa Amerika Syarikat campur tangan ke dalam hal ehwal negara Jordan, memandangkan Jordan masih rakan sekutu Amerika yang teguh.

Dengan negara China yang aktif meluaskan pengaruh mereka di rantau Arab, dari pelaburan infrastruktur pelabuhan di utara Lebanon dan pembelian minyak Iraq ke lawatan rasmi Presiden Syria Bashar Al-Assad ke China awal minggu lepas yang disambut dengan meriah, Amerika semakin resah dan terdapat kebenaran dalam spekulasi sebegini.

Bagi pihak negara China, situasi yang keruh ini menyebabkan China mengurangkan pelaburan di negara Timur Tengah yang kurang kemampuan membayar seperti Jordan.

Sebaliknya, China beralih tumpuan kepada negara kaya seperti Arab Saudi dan Qatar, yang walaupun masih mendampingi Amerika Syarikat tetapi mampu membiayai pinjaman infrastruktur.

Untuk negara Jordan yang dilanda krisis air dan ekonomi yang merudum, mereka turut mendapat pengajaran daripada pengalaman syarikat Attarat untuk mengurangkan hubungan perdagangan dengan China.

Pada bulan Mei lepas, syarikat telekomunikasi mereka menandatangani satu perjanjian baharu untuk bekalan peralatan 5G. Walaupun syarikat ini adalah pelanggan lama Huawei, pembekal peralatan yang dipilih adalah Nokia.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca