SHAH ALAM - Siasatan atau pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berdasarkan kepada peruntukan dan keperluan dalam kesalahan-kesalahan di bawah akta badan agensi itu sendiri dan bukannya tertakluk kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Siasatan atau pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berdasarkan kepada peruntukan dan keperluan dalam kesalahan-kesalahan di bawah akta badan agensi itu sendiri dan bukannya tertakluk kepada sebarang keputusan atau dapatan mahkamah.

Peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, pihak SPRM tidak boleh terus membuat pendakwaan tanpa ada sebarang siasatan kerana elemen dan pembuktian sesuatu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan Akta SPRM itu adalah berbeza.

"Jadi siasatan atau pendakwaan pihak SPRM terhadap sesuatu kes atau pun individu itu di bawah Akta SPRM adalah berbalik kepada pihak SPRM itu sendiri.

"Siasatan oleh SPRM itu sendiri adalah berdasarkan kepada peruntukan dan keperluan dalam kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM itu sendiri dan bukannya tertakluk kepada apa-apa keputusan atau dapatan mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman daripada Pas, Che Alias Hamid pada PRU15, setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen itu.

Dalam pada itu, M Hafiz berkata, melihat kepada kes petisyen pilihan raya sebelum ini, elemen sogokan atau mengenai perbuatan rasuah itu adalah berdasarkan kepada interpretasi dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Dapatan mahkamah berkenaan mengenai perbuatan rasuah itu berdasarkan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mana sememangnya interpretasi dan dapatan mahkamah adalah berdasarkan kepada akta berkenaan dan bukannya di bawah Akta SPRM.

"Walaupun mahkamah mengatakan adanya satu kesalahan berbentuk rasuah semasa kempen pilihan raya, namun adakah kesalahan tersebut adalah sepertimana dalam elemen-elemen kesalahan di bawah Seksyen 16 atau Seksyen 17 yang terdapat dalam Akta SPRM?

"Ia kesalahan yang lebih menjurus kepada kesalahan tatakelola,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca