SHAH ALAM - Cadangan pengecualian visa kepada pelancong China untuk memasuki Malaysia disifatkan mempunyai kesan positif dan negatif melibatkan pertimbangan politik, ekonomi, sosial serta keselamatan yang kompleks. Felo Penyelidik Pusat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cadangan pengecualian visa kepada pelancong China untuk memasuki Malaysia disifatkan mempunyai kesan positif dan negatif melibatkan pertimbangan politik, ekonomi, sosial serta keselamatan yang kompleks.

Felo Penyelidik Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Azrul Azlan Abdul Rahman berkata, langkah pengecualian itu boleh meningkatkan risiko keselamatan negara sekiranya seseorang itu mempunyai niat tidak jelas atau latar belakang yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

"Ia boleh mengganggu keselamatan negara jika individu itu terlibat dalam aktiviti haram atau ancaman terhadap negara.

"Tanpa proses visa yang ketat, individu yang berpotensi berbahaya atau terlibat dalam pemerdagangan manusia mudah masuk ke Malaysia, sekali gus meningkatkan beban petugas keselamatan sempadan dan imigresen,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilapor berkata, satu laporan mengenai pengecualian visa untuk pelancong China akan dibuat Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan dijangka mendraf dasar hari lawatan yang dibenarkan melalui perkhidmatan berkenaan.

Selain itu, Azrul Azlan berkata, pengecualian tersebut juga boleh mempengaruhi keselamatan pelancong asing yang berada di Malaysia.

Azrul Azlan

Ia sekali gus menimbulkan kegusaran terhadap risiko penularan penyakit atau ketidakstabilan yang mungkin timbul akibat dasar tersebut.

"Penting untuk diingat dasar visa melibatkan keputusan politik yang kompleks dan impak keselamatan boleh berbeza-beza, bergantung kepada konteks.

"Penting juga untuk mempunyai langkah pengawasan dan keselamatan yang berkesan dalam mengatasi potensi risiko akibat dasar itu,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak perkara yang positif berhubung perkara itu ialah hubungan diplomatik yang lebih baik dengan China.

Ujarnya, ia dapat membantu mencipta persefahaman dan kerjasama lebih baik dalam bidang keselamatan seperti pertukaran maklumat terkait ancaman keselamatan.

Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat susulan peningkatan pelancong, perdagangan dan pelaburan.

"Ini boleh memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi dan menyumbang kepada keselamatan ekonomi negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca