BARU-BARU ini dalam satu seminar di Cyberjaya penulis ditanya satu soalan yang mudah namun sukar dijawab.
Soalannya ialah bagaimana mahu merebut undi pengundi umum yang pada pandangan pihak yang bertanya makin sukar dilakukan.
Sebelum menjawab, penerangan klise diberikan bahawa turut serta dalam proses mengundi dan pilihan raya adalah tanggung jawab dan hak demokratik setiap warganegara yang telah dijamin oleh Perlembagaan.
Justeru, perkataan merebut undi barangkali terlalu keras dan agak bertentangan dengan konsep hak demokratik sebagai seorang pengundi.
Mengapa begitu? Ini disebabkan mengundi dalam pilihan raya adalah cara yang sah, beretika dan terbaik untuk menyumbang kepada demokrasi dan memastikan suara warganegara di dengar oleh kerajaan.
Dalam masa yang sama, pilihan raya adalah untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan mewakili kepentingan rakyat dalam sistem demokrasi. Jadi yang direbut bukan undi mereka kerana itu adalah hak dan tanggungjawab, sebaliknya khidmat wakil mereka yang ditagih sebagai ‘Yang Berkhidmat’ (YB).
Justeru, dalam sistem demokrasi, aspek integriti dan etika lebih penting berbanding undi dan pilihan raya itu sendiri.
Memikat undi atau mendapatkan sokongan dari mana-mana kelompok pengundi, termasuk orang Melayu, haruslah berdasarkan idea, dasar, kualiti serta peribadi calon yang meyakinkan, bukannya dengan cara yang merosakkan proses demokratik atau melibatkan tindakan yang tidak sah.
Sebab itu ia harus bermula dengan menyediakan pengundi yang celik dan bermaklumat. Pendidikan pengundi adalah kunci untuk perkara ini.
Penting untuk masyarakat secara keseluruhan untuk berpendidikan tentang proses pilihan raya, hak mereka sebagai pengundi, dan pentingnya mengundi supaya mereka mengundi secara bijak dan praktikal, bukannya atas emosi atau sentimen.
Sungguhpun begitu, sedihnya faktor calon dan parti politik tetap paling mendominasi dalam setiap pilihan raya.
Tumpuan umum lebih menyorot kepada aktiviti mereka sehingga menterbalikkan makna sebenar pilihan raya yang meraikan suara dan mandat rakyat.
Akhirnya, pilihan raya hanya menjadi sekadar rutin biasa untuk menjustifikasikan pemerintahan dan bukannya mekanisme memperkasakan suara dan hak demokratik rakyat yang sebenar.
Justeru, dalam menjawab soalan tentang merebut undi, beberapa pandangan berikut diberikan secara umum bagi menjawab persoalan yang dikemukakan.
Pandangan ini bersifat peribadi namun ia dibuat berdasarkan pengamatan sepanjang berada di lapangan setiap kali turun mengkaji dan memerhati pilihan raya.
Pertama, parti atau calon perlu membina hubungan dan kepercayaan yang tinggi di kalangan pengundi. Aspek berkomunikasi, ruang bersuara dan keterlibatan yang telus oleh parti dan calon akan memberi keyakinan dan kepercayaan di kalangan pengundi lantas membentuk kesetiaan jangka panjang.
Kedua prestasi dan ketelusan. Maklumat yang jelas dan telus mengenai diri calon, parti, dan dasar-dasar yang diperjuangkan sangat penting bagi pengundi.
Pengundi ingin tahu siapa yang mereka undi dan apa yang diwakilkan oleh calon dan parti tersebut. Hal ini saling melengkapi antara calon dan parti, sesuatu yang kadang-kadang sukar diperoleh oleh calon yang bertanding secara bebas biarpun mereka mungkin mempunyai personaliti dan pencapaian yang menarik.
Ketiga mengenali budaya dan tradisi setempat serta faham dengan isu-isu semasa.
Memahami dan menghormati budaya dan tradisi setempat adalah penting agar tidak melanggar sensitiviti budaya, tradisi dan agama di samping faham isu-isu semasa dengan membentangkan pendekatan atau penyelesaian yang relevan untuk menangani isu-isu tersebut.
Terakhir, imej kuat kerja dan integriti sebagai imej peribadi dan parti. Aspek ini menjadi sangat kritikal serta paling mencabar untuk ditonjolkan, namun sangat dekat dalam kalangan pengundi.
Kalau imej ini dilihat rosak di mata pengundi, maka sukar untuk calon atau parti merebut undi mereka dalam pilihan raya.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca